Pek makanan barangan makanan keperluan asas yang diagihkan ke setiap kawasan rancangan.

KUALA LUMPUR – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) mengagihkan bantuan makanan asas bernilai RM5.6 juta kepada 112,638 peneroka melalui kedai D’Mart di kawasan rancangan.

Sumbangan yang diagihkan adalah berbentuk bekalan makanan keperluan asas seperti beras, gula pasir, minyak masak, susu pekat manis, kurma, biskut krim dan mee segera yang bernilai sebanyak RM50 setiap pek.

Pengambilan dilaksanakan sejak 6 Mei hingga 13 Mei 2020 di kedai-kedai D’Mart di kawasan rancangan.

FELDA turut menyumbang sebanyak RM953,500.00 kepada inisiatif Pusat Makanan Komuniti Rancangan (PMKR) yang telah ditubuhkan pada awal PKP oleh Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKPP).

Di samping itu, Kelab Bolasepak Felda United (FUFC) dengan kerjasama JKPP, KPF, MBFM, KAF, PUSPANITA Felda,
Persatuan Kakitangan Kanan Felda (PKKF) dan Kesatuan Pekerja-pekerja Felda (KPPF) berjaya mengadakan kutipan sumbangan sebanyak RM166,499.00 untuk tujuan yang sama.

Jumlah keseluruhan sumbangan sebanyak RM1,119,999.00 akan digunakan untuk membeli dan mengagihkan pek barangan makanan keperluan asas kepada lebih kurang 28,000 peneroka dan generasi baru yang layak.

Setakat ini PMKR, telah mengagihkan 131 ribu pek barang makanan keperluan asas kepada keluarga peneroka di 317 Rancangan FELDA di seluruh negara.

Pengarah Besar FELDA, Datuk Dr. Othman Omar berkata, agensi itu sentiasa prihatin dan akan terus berusaha membantu meringankan beban warga peneroka yang terkesan dengan memastikan bantuan bekalan asas tidak terputus dan dikendalikan dengan sebaik mungkin.- MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.