Kristalina Georgieva. foto Agensi

WASHINGTON – Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi isyarat akan menyemak penurunan unjuran ekonomi dunia.

Badan kewangan dunia itu turut mengingatkan Amerika Syarikat dan China supaya tidak menghidupkan kembali perang perdagangan yang akan melemahkan pemulihan pandemik koronavirus.

Pengarah Urusan IMF, Kristalina Georgieva dalam satu majlis anjuran Institut Universiti Eropah berkata, data ekonomi baru-baru ini untuk banyak negara berada di bawah ramalannya dengan penyusutan 3% pada tahun 2020.

“Tanpa penyelesaian perubatan segera, senario yang lebih buruk mungkin akan berlaku bagi beberapa ekonomi,” kata Georgieva.

Pada bulan lalu, pemberi pinjaman global ini mengunjurkan ekonomi global akan menyusut sebanyak 3% menandakan penurunan paling ketara sejak Great Depression pada tahun 1930-an, dengan pemulihan semula yang akan diikuti pada tahun 2021.

Namun, beliau memberi amaran bahawa hasilnya mungkin jauh lebih buruk, bergantung sejauh mana penularan wabak tersebut.

Ekonomi AS – yang terbesar di dunia – sangat teruk diancam wabak Covid-19 telah melaksanakan sekatan untuk mengekang penyebaran virus itu.

Data Kerajaan AS menunjukkan kehilangan pekerjaan paling buruk sejak Great Depression dengan kadar pengangguran melonjak 14.7%.

White House memaklumkan pengangguran dijangka mencecah 20% pada bulan Mei.

Presiden AS, Donald Trump telah mengancam untuk menghukum China berikutan penularan virus tersebut dengan mengenakan tarif baharu atau langkah-langkah lain dan ada yang meramalkan Trump akan mengakhiri perjanjian perdagangan Fasa 1 antara AS-China.

Semalam, pegawai perdagangan AS dan China mengatakan mereka akan terus melaksanakan perjanjian perdagangan awal, tetapi beberapa pemerhati mengatakan pembelian barang AS yang dijanjikan oleh China berjalan jauh di belakang kadar yang diperlukan untuk mencapai matlamat tahun pertama bernilai AS$77 bilion.

Ditanya bagaimana pertikaian AS-China boleh menjejaskan ekonomi, Georgieva memberi amaran, ‘Sangat penting bagi kita untuk menolak kecenderungan semula jadi untuk mundur di belakang sempadan kita’.

Melancarkan semula perdagangan dunia sangat penting untuk memastikan pemulihan ekonomi global, katanya.

“Jika tidak, kos naik, pendapatan turun dan kita akan berada di dunia yang kurang aman,” tegas peneraju IMF.

Georgieva mengatakan IMF telah memberikan dana kecemasan kepada 50 daripada 103 negara yang meminta bantuan.

Negara-negara miskin tetap berisiko tinggi kerana penurunan pengiriman wang yang ketara dan penurunan harga komoditi, walaupun kadar kematian virus itu lebih rendah daripada di beberapa negara kaya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast