Gambar hiasan

JAKARTA – Polis Bali sedang menyiasat kematian tiga warga asing di lokasi berasingan di pulau peranginan itu.

Seorang lelaki warga Amerika Syarikat dikenali sebagai Darrel Carlton ditemui mati di sebuah vila di Kecamatan Seminyak, Kabupaten Kuta, Kabupaten Badung, pada Khamis lalu.

Carlton adalah individu warga asing ketiga yang meninggal dunia di Bali setelah dua orang Australia meninggal dunia pada hari Selasa dan Rabu.

Ketua Unit Siasatan Polis Kuta, Insp Pertama Bagus Nagara Baranacita memaklumkan polis masih menyiasat punca kematian tetapi tidak menemui tanda-tanda keganasan pada tubuh badan Carlton.

“Kami masih menunggu hasil ujian Covid-19 sebelum melakukan siasatan lebih lanjut,” kata Bagus sambil menambah bahawa penyiasat juga menyiasat bilik mangsa.

Carlton, 50, yang menjalankan perniagaan penyewaan vila di Seminyak, ditemui mati setelah seorang penyewa yang hendak daftar keluar menghubunginya.

Disebabkan Carlton tidak menjawab panggilan yang dibuatnya, penyewa itu pergi untuk memeriksa Carlton dan terhidu bau busuk dari biliknya.

Penyewa itu kemudian melaporkan kepada pengawal bantuan, yang seterusnya menghubungi pihak berkuasa tempatan.

Ketua Badan Mencari dan Menyelamat Bali (Basarnas), Gede Darmada, memaklumkan badan Carlton kaku dengan kulit yang menghitam.

Mangsa mungkin telah meninggal tiga hari sebelum ditemui.

Gede mengatakan pihaknya telah pergi ke vila untuk mengeluarkan mayat pada pukul 3.45 petang pada Khamis lalu. Basarnas kemudian mengarahkan enam anggota untuk proses tersebut.

Kakitangan memakai alat pelindung lengkap sebagai sebahagian daripada protokol standard untuk Covid-19

Mangsa dibawa ke Hospital Sanglah dan sedang menunggu kebenaran keluarga untuk melakukan siasatan forensik.

Rabu lalu, Kevin James Nunn, 58, dari Australia Barat ditemui mati di rumah sewanya di utara Denpasar.

Nunn didakwa meninggal dunia kerana meminum dua tin minuman ringan yang telah habis tempoh.

Ketua Polis Denpasar, Adj Jensen Aviatus berkata, Nunn telah memberitahu isterinya bahawa dia merasakan sakit di dada sebelum dia meninggal.

Polis juga mula menyiasat kematian tersebut untuk mengetahui sama ada Nunn mati akibat keracunan minuman.

Tubuhnya juga dibawa keluar menggunakan protokol Covid-19, tetapi ujian Covid-19 negatif.

Pada Selasa lalu, seorang lelaki warga Australia, Christopher Steven Tolley ditemui mati di bilik hotelnya di Seminyak.

Lelaki berusia 48 tahun itu ditemui mati di atas katil di bilik hotelnya pada hari Selasa petang setelah didakwa tidak muncul selepas tamat tempoh waktu daftar keluar.

Tolley juga negatif untuk Covid-19. – MalaysiaGazette