Gambar hiasan

ANCAMAN wabak Covid-19 dan pelaksaaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut mencetuskan transformasi dan norma baharu dalam cara kerja anggota perkhidmatan awam. Kini bekerja dari rumah dilihat mula menjadi budaya yang penting dan signifikan dalam sektor awam demi menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Justeru kita sangat bersetuju dengan hasrat kerajaan agar sektor awam mengangkat budaya ini sebagai norma baharu cara kerja anggota perkhidmatan awam dalam mendepani pelbagai tuntutan dan cabaran yang semakin kompleks. Inisiatif Jabatan
Perkhidmatan Awam (JPA) yang segera mengeluarkan surat edaran serta memperincikan kaedah pelaksanaan budaya kerja ini dengan menyediakan panduan kepada penjawat awam melalui Soalan Lazim (FAQ) supaya anggota perkhidmatan awam lebih jelas dan memahami konsep baharu ini jelas menzahirkan komitmen pihak kerajaan dalam mewujud dan memperkasa norma baharu ini

Hakikatnya kita dapat dilihat banyak kelebihan jika dapat melaksanakan budaya baharu ini secara total di sektor awam baik di pihak kerajaan atau rakyat mahupun kepada penjawat awam. Antara kelebihan kepada kerajaan ialah, norma baharu ini
boleh meningkatkan produktiviti dan keberhasilan penjawat awam dan agensi kerajaan. Misalnya, waktu bekerja yang lebih fleksibel dan mengikut penggiliran membolehkan penjawat awam mempunyai banyak pilihan supaya dapat bekerja dengan lebih selesa, tenang dan tanpa sebarang tekanan. Dengan ini kerja dapat disiapkan dengan lebih efisien dan pantas.

Pada masa yang sama kita perlu akui bekerja dari rumah kebiasaannya akan memerlukan peningkatan dalam penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi seperti internet kerana kita bekerja secara maya. Maka bila mana pekerja semakin mahir menggunakan teknologi, antara kesan langsung ialah dapat mewujudkan lebih banyak lagi perkhidmatan dalam talian kepada rakyat. Maka norma baharu ini akan memudahkan rakyat untuk mendapatkan perkhidmatan yang diperlukan pada bila-bila masa tanpa perlu hadir secara fizikal ke pejabat kerajaan. Misalnya segala pertanyaan, permohonan dan pengisian borang semuanya dapat dibuat secara total dari rumah masing-masing.

Malah budaya bekerja dari rumah juga sudah semestinya
akan membantu mempercepatkan lagi proses pendigitalan sektor kerajaan (e-kerajaan) yang kini dilihat sudah menjadi agenda penting kerajaan. Bagi golongan pekerja pula, antara kelebihan bekerja dari rumah ialah sudah semestinya dapat mengurangkan perbelanjaan terutamanya membabitkan kos pengangkutan sama ada kos pengangkutan awam atau kenderaan sendiri seperti kos
petrol, tol dan parkir. Hal ini sangat signifikan kerana kenaikan kos sara hidup pada hari ini menyebabkan penjawat awam dari kategori berpendapatan rendah dan sederhana dilihat semakin terhimpit untuk meneruskan kelangsungan hidup. Justeru
penjimatan kos ini akan memberi impak yang cukup besar kepada golongan ini dari segi kemudahan wang tunai di tangan.

Pada masa yang sama, budaya kerja yang lebih fleksibel ini membolehkan penjawat awam dapat meluangkan masa yang lebih berkualiti di rumah bersama kaum keluarga serta dapat mengurangkan tekanan di tempat kerja. Senario ini akan
membolehkan penjawat awam dapat membahagikan masa dengan lebih baik serta seimbang antara keluarga dan kerja. Ini pada akhirnya boleh melahirkan seorang penjawat awam yang efisien dan berdedikasi, serta mewujudkan sebuah keluarga
yang bahagia.

Namun dalam kita meraikan budaya kebiasaan baharu ini, jangan lupa kekangan dan cabaran yang akan menyusul bila melaksanakan konsep bekerja dari rumah secara menyeluruh. Antara cabaran yang dihadapi oleh ketua jabatan ialah perlu
memastikan integriti, amanah dan tanggungjawab kakitangan yang bertugas di rumah dapat dijaga dan dipantau dengan baik dan secara sistematik. Di samping itu perlu ada penetapan sasaran kerja yang jelas melalui mekanisme yang efisien supaya kita dapat mengukur kuantiti dan kualiti kerja kakitangan yang
melambangkan produktiviti dan keberhasilan mereka. Malah penyediaan kemudahan dan infrastruktur yang diperlukan untuk bekerja di rumah juga akan menjadi cabaran kepada kerajaan.

Secara prinsipnya, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Kalau sebelum ini bekerja dari rumah dianggap sesuatu yang sukar, tidak mungkin dapat dilakukan atau dianggap bukan budaya kerja di negara ini, sepanjang PKP kita dapat
membuktikan ianya tidak mustahil. Justeru semua penjawat awam dengan lapang dada dan minda yang positif perlu menerima hakikat betapa bekerja dari rumah bukan lagi satu pilihan sebaliknya inilah budaya kerja masa hadapan dan kita perlu bersedia untuk melazimi kebiasaan baharu ini.

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED

 

Oleh: Noor Mohamad Shakil Hameed, Timbalan Pengarah, Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi, UPM

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast