Gambar hiasan foto FAREEZ FADZIL, 22 APRIL 2020

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki dipercayai terlibat mengambil dadah jenis kanabis (ganja) ketika melakukan Op Samseng Jalanan dan Pemantauam Op Covid-19 di Brickfield malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Zulkefly Yahya berkata,  polis yang melakukan rondaan di kawasan terbabit kira-kira pukul 10.30 malam mendapati kenderaan yang dinaiki suspek mencurigakan

Beliau berkata, suspek yang merupakan pekerja syarikat kawalan serangga perosak ditahan di Jalan Tun Sambathan ketika sedang memandu kereta jenis Kia Spectra warna hitam.

“Dengan menunjukkan kad kuasa polis pemeriksaan dijalankan dan mendapati motokar tersebut dipandu oleh satu lelaki India Muslim.

“Ketika pemeriksaan dibuat lelaki terbabit dipercayai memandu dalam keadaan di bawah pengaruh alkohol dan dia kemudiannya dibawa ke Balai Polis Tun H.S Lee untuk menjalani Ujian pernafasan di bawah Seksyen 45(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 1999),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan ujian yang dijalankan menunjukkan keputusan alkohol 274 miligram (MG).

Katanya, ketika dilakukan pemeriksaan pada badan polis menemukan satu bungkusan dadah di dalam plastik lutsinar di kocek kanan seluarnya.

Lelaki itu kemudiannya dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Brickfield untuk tindakan lanjut, tambah beliau.

Sementara itu, dalam kes berasingan dua individu ditahan kerana terlibat dengan aksi membahayakan ketika menunggang motosikal.

Kedua-dua mereka yang masing-masing berusia 20 serta24 tahun merupakan penjual alat ganti kenderaan dan pekerja bengkel kereta ditahan di Jalan Semarak kerana melakukan aksi ‘wheelie’. – MalaysiaGazette