Gambar hiasan

SINGAPURA – Harga minyak turun dalam dagangan hari iniĀ  berikutan kebimbangan terhadap gangguan dan kemelut ekonomi berterusan disebabkan oleh pandemik koronavirus dan penarikan semula sokongan beberapa pengeluar untuk mengurangkan bekalan minyak dunia.

Niaga hadapan minyak mentah Brent turun AS$0.29 atau 0.9%, kepada AS$ 30.68 setong pada 0431 GMT.

Sementara niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate Amerika Syarikat susut AS$0.17 atau 0.7%, kepada AS$ 24.57 setong.

Kedua-dua penanda aras ini telah mencatat kenaikan selama dua minggu lalu selepas kebanyakan negara melonggarkan perjalanan yang sebelum ini dilaksanakan bagi membendung wabak Covid-19.

Pengeluaran minyak di seluruh dunia juga menurun.

Tetapi terdapat tanda-tanda kemungkinan gelombang kedua jangkitan koronavirus di timur laut China dan Korea Selatan membimbangkan pelabur, bahkan ketika ini lebih banyak negara mulai melonggarkan pergerakan dalam usaha menyokong permintaan minyak.

Penganalisis Goldman Sachs berkata, masih ada kebimbangan bahawa permintaan akan tetap lemah pada tahun 2021, dengan kemungkinan berlaku gelombang kedua kes Covid-19, selain hanya berlaku peningkatan sederhana dalam perjalanan peribadi atau korporat.

Permintaan minyak global telah menurun sekitar 30% ketika pandemik koronavirus mengekang pergerakan di seluruh dunia, menyebabkan inventori minyak dunia melonjak. – MalaysiaGazette