Sejumlah 960 individu yang terdiri daripada kakitangan dan ahli Parlimen sudah disaring oleh KKM.-Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Hanya RTM dan Bernama dibenarkan membuat liputan Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Majlis Parlimen Ke-14 yang akan berlangsung pada Isnin, 18 Mei 2020 di bangunan Parlimen.

Keputusan itu selaras dengan keputusan kerajaan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967 serta langkah-langkah pencegahan lanjut.

Perkara tersebut dimaklumkan dalam edaran kepada media yang ditandatangani oleh Setiausaha Bahagian Komunikasi Korporat Parlimen Malaysia, Muhd Nor Aswadi Md Nor.

Dewan Rakyat akan bersidang sehari pada 18 Mei bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan usaha membendung pandemik Covid-19. Tiada sesi soal jawab dibenarkan bagi sesi khas ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, kedudukan Ahli-ahli Parlimen juga akan dijarakkan bagi memenuhi keperluan penjarakan sosial yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Mengambil kira pendirian kerajaan bahawa sebarang bentuk perhimpunan ramai masih belum sesuai diadakan pada masa ini dalam rangka mengurangkan risiko jangkitan Covid-19, sidang Parlimen yang dijadualkan berlangsung hanya satu hari sahaja pada 18 Mei 2020 wajar dikekalkan.

“Susunan kedudukan Ahli-Ahli Parlimen di dalam Dewan Rakyat juga akan diubah suai untuk mengamalkan penjarakan sosial bagi menjamin semua ahli Dewan dapat mengambil bahagian dalam ruang lingkup Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.

Artikel berkaitan: Dewan Rakyat bersidang satu hari patuh pelaksanaan PKP

Ahli-ahli Parlimen pembangkang membantah sidang sehari sebaliknya mendesak kerajaan mengadakan sesi yang lebih panjang bagi membolehkan pelbagai isu dibangkitkan.

Ada juga dalam kalangan pembangkang mencadangkang supaya diadakan sidang dalam talian supaya isu-isu berkaitan rakyat dapat dibahaskan.

Artikel berkaitan: PH cadang sidang Dewan Rakyat secara dalam talian

Sidang Dewan Rakyat kali ini menjadi tumpuan kerana ia merupakan sidang pertama selepas kerajaan Perikatan Nasional di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin memerintah berikutan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Keputusan tersebut menyebabkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diterajui  Dr Mahathir bertindak meninggalkan Pakatan Harapan sehingga menyebabkan kerajaan PH runtuh.

Dua usul telah dihantar untuk sidang kali ini iaitu usul oleh Datuk Seri Shafie Apdal yang merupakan Ahli Parlimen Semporna dan Ketua Menteri Sabah mencadangkan bahawa Dr Mahathir mendapat kepercayaan ahli-ahli Dewan Rakyat. Bagaimanapun usul tersebut telah ditolak.

Satu lagi usul oleh Dr Mahathir atas kapasiti ahli Parlimen Langkawi juga telah dikemukakan bagi undi tidak percaya terhadap Muhyiddin. Usul tersebut telah diterima namun tidak perlu disegerakan dan akan dibawa ke mesyuarat Julai. – MalaysiaGazette