Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Meskipun UMNO sudah berusia lebih 7 dekad dalam sejarah pembentukan negara dan bangsa Malaysia, parti itu masih mempunyai tugas penting untuk mengembalikan bangsa dan negara ini kepada landasannya.

Lantaran itu, orang Melayu diajak untuk terus membangunkan UMNO, kembali menjadi pendiri bangsa yang diyakini, dihormati, dan diperlukan negara.

Ini kerana, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, UMNO masih institusi terpenting bagi orang Melayu, biarpun dalam dekad-dekad mutakhir ini, parti ini berhadapan dengan pelbagai cabaran sama ada yang berpunca darinya sendiri ataupun faktor lain,

”Kepada orang Melayu, UMNO adalah sebahagian dari warisan dan peninggalan pendiri bangsa yang harus kita pertahankan dengan sepenuh jiwa raga,” katanya sempena ulang tahun UMNO ke-74 pada hari ini.

Tegas beliau, retorik dan sentimen Melayu bukan jawapan kepada masalah dan isu orang Melayu, sebaliknya, idea besar yang segar, inovatif dan menjawab persoalan semasa harus menjadi naratif yang mesti diterjemahkan dalam bentuk tawaran yang konkrit.

Untuk itu, sempena dengan sambutan ulang tahun UMNO ke-74 ini, beliau mengajak orang Melayu untuk sama-sama memikirkan apakah sumbangan dan keunggulan baharu yang boleh ditawarkan kepada UMNO.

”Hanya dengan memperkasakan keunggulannya sendiri terlebih dahulu, barulah UMNO akan berupaya untuk menawarkan kepimpinan dan masa depan yang lebih baik untuk negara kita,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast