Presiden La Liga, Javier Tebas

MADRID – Saingan bagi perlawanan La Liga Sepanyol diharap akan kembali bersambung pada 12 Jun ini.

Itu harapan Presiden La Liga, Javier Tebas namun terpaksa akur dengan polisi kesihatan yang ditetapkan kerajaan dalam menangani pandemik Covid-19.

Tebas berkata demikian selepas beberapa jam lima pemain dari dua liga tertinggi Sepanyol disahkan positif Covid-19.

“Saya mahu ia (musim bersambung) pada 12 Jun, tetapi ia bergantung kepada angka. Kata putus pada pihak berkuasa kesihatan. Mereka menjelaskan apa yang boleh dilakukan. Kami tidak terburu-buru, bukan kami yang menentukan fasa-fasa ini,” kata Tebas.

Walaupun pengumuman itu mendedahkan beberapa lagi kes positif, Tebas tetap bertegas bahawa Sepanyol berada di landasan tepat untuk kembali meneruskan saingan liga.

Ujar beliau, pihaknya menjangkakan 25 atau 30 kes baharu berdasarkan angka di Bundesliga dan kesan virus itu di Sepanyol.

“Daripada 2,500 individu, hanya lapan positif. Pemain-pemain sudah berada di fasa terakhir wabak berkenaan dan minggu ini mereka akan diuji sekali lagi,” ujarnya. – MalaysiaGazette