Gambar Hiasan. foto FAREEZ FADZIL, 28 SEPTEMBER 2019

PUTRAJAYA- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan setakat ini tiada kes jangkitan Covid-19 menerusi makanan.

Ketua Pengarahnya berkata, sekiranya virus berkenaan terdapat pada makanan, ia akan mati apabila makanan tersebut dimasak.

“Saya rasa ramai yang risau isu ini, tetapi kalau adapun virus (pada makanan) ia akan mati apabila dimasak dengan suhu yang tinggi,” katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, tidak semua makanan perlu dijemur sebagaimana dilakukan segelintir rakyat.

Beliau berkata, KKM sedang menunggu laporan daripada Jabatan Vaterinar mengenai kajian jangkitan virus terhadap makanan terutamanya bahan mentah seperti ayam.

“Contohnya kes jangkitan yang berlaku di Kilang Ayam, kita masih menunggu laporan jabatan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu keselamatan makanan susulan ramai peniaga bahan mentah di pasar dijangkiti wabak berkenaan. – MalaysiaGazette