Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dilihat tekun melakukan kerja-kerja pengambilan sampel Covid-19 terhadap orang awam berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi membendung penularan Covid-19 ketika tinjauan Malaysia Gazette di kawasan Pasar Jalan Othman (PJO), Petaling Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 10 MEI 2020.

PUTRAJAYA – Ujian bagi mengesan virus Covid-19 adalah ujian berasaskan antigen iaitu melalui ujian Real time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (rRT-PCR) ataupun ujian RTK Antigen.

Kedua-dua ujian itu memerlukan pengambilan Nasopharyngeal Swab (NPS) oleh anggota yang terlatih dengan menggunakan alat pelindung diri (PPE) yang bersesuaian serta kelengkapan makmal seperti Biological Safety Cabinet (BSC) ketika memproses sampel yang telah diambil, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

“Manakala, ujian serologi RTK Antibodi yang menggunakan sampel darah dari hujung jari (finger prick) tidak boleh digunakan sebagai ujian pengesahan.

“Ini kerana kehadiran antibodi tidak dapat mengesahkan jangkitan semasa (active infection). Keputusan antibodi negatif pula tidak menjamin individu yang diuji tersebut tidak dijangkiti Covid-19,” katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Bagaimanapun, menurut Noor Hisham, ujian RTK Antibodi boleh digunakan bagi tujuan pelaksanaan kajian prevalen jangkitan Covid-19 di dalam masyarakat atau dalam kalangan kumpulan sasar (seperti kumpulan pekerja).

Ujarnya, ia selari dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mana RTK antibodi boleh digunakan dalam aktiviti survelan dan kajian epidemiologi.

“Buat masa ini tiada bukti kukuh dari kajian saintifik yang menunjukkan bahawa orang yang telah pulih daripada Covid-19 dan mempunyai antibodi adalah terlindung daripada jangkitan kedua (second infection),” katanya. – MalaysiaGazette