Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

KUALA LUMPUR – Bank Rakyat menawarkan pembiayaan  berjumlah RM50 juta untuk usahawan wanita menerusi pakej Biz Lady.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pembiayaan ini bertujuan membantu usahawan wanita menangani masalah aliran wang tunai jangka pendek dan mengekalkan kelangsungan perniagaan yang terkesan akibat Covid-19.

Bank Rakyat juga menawarkan pembiayaan khas RM300,000 kepada usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan koperasi sebanyak RM50,000 untuk tanggungan mikro selama 69 bulan, selain penangguhan pembayaran 9 bulan.

“Bank Rakyat mengambil langkah proaktif dalam membantu individu dan perniagaan yang terjejas daripada kesan ekonomi akibat pandemik Covid-19 yang berterusan dengan menawarkan pelbagai bantuan kewangan,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau turut memaklumkan kempen oleh Bank Rakyat, ‘Kami Bersama Anda’ bermula 24 April sehingga 30 Jun 2020 yang menawarkan pembiayaan peribadi-i dengan jumlah pembiayaan sehingga RM200,000 dengan kadar keuntungan serendah 2.78 peratus setahun bagi tempoh pembiayaan sehingga 10 tahun.

Jelasnya, kempen ini diharap dapat membantu usahawan dan koperasi mengekalkan kesinambungan perniagaan masing-masing dan dapat melonjakkan semula ekonomi negara sepanjang tempoh yang mencabar semasa Covid-19.

“Bank Rakyat turut menawarkan Pajak Gadai-i Ar-Rahnu dengan jumlah pembiayaan sehingga RM350,000, margin pembiayaan sehingga 80 peratus bagi tempoh pembiayaan sehingga 18 bulan,” katanya lagi.

Pelanggan Bank Rakyat dalam masa yang sama digalakkan membeli barang keperluan harian dan menyediakan persiapan untuk musim raya yang akan datang, gunalah Kad Kredit-i atau Kad Debit-i Bank Rakyat dan berpeluang memenangi hadiah terkumpul pulangan tunai sehingga RM30,000 melalui transaksi dalam talian.

“Malah sekiranya orang ramai berhasrat untuk menyalurkan duit ke ibu bapa di kampung, anda boleh menggunakan aplikasi DuitNow di iRakyat dan berpeluang memenangi hadiah terkumpul sehingga RM24,000,” katanya lagi.- MalaysiaGazette