Pengasas Country Heights Holdings Berhad, Tan Sri Lee Kim Yew (kiri) menyerahkan menyerahkan 1,000 bungkusan bantuan makanan kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Mohd Ajib Ismail (tiga kanan) pada Program Bantu Bantu Malaysia sempena bulan Ramadan untuk golongan fakir miskin dan yang memerlukan pada hari ke - 9 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Besyarat (PKPB) bagi membendung wabak Covid - 19 di Hotel Palace of The Golden Horses, Seri Kembangan, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 12 MEI 2020

KUALA LUMPUR – Sejak penubuhan Kempen Bantu-Bantu Malaysia ketika negara menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tiada satu panggilan telefon pun yang dikecewakan apatah lagi tidak mendapat bantuan.

Demikian kata Pengasas Country Heights Berhad, Tan Sri Lee Kim Yew yang memulakan inisiatif itu sejak bermulanya PKP fasa pertama pada 18 Mac lalu, malah beliau akan melakukan terbaik untuk membantu semua pihak yang terjejas akibat Covid-19.

“Sesiapa yang telefon Bantu-Bantu Malaysia, saya akan cuba terbaik (bantu). Dari hari pertama (18 Mac 2020) hingga sekarang, tiada satu panggilan pun kita tak berbuat apa-apa (bantu) kita mesti buat sesuatu,” katanya ketika ditemui pemberita di Hotel Palace of Golden Horses, Seri Kembangan hari ini.

Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan 1,000 hamper berupa barang keperluan asas kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Mohd Ajib Ismail untuk JAWI Food Bank.

Sumbangan kali ini merupakan bantuan untuk fasa kedua di mana sebelum ini membabitkan 1,000 kampit beras 5 kg, 20,000 topeng muka, 300 Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) dan juga 50,000 roti bom.

Berbekalkan semangat dan falsafah yang digarap daripada Rukun Negara khususnya pada Kesopanan dan Kesusilaan, beliau menghayatinya dengan membantu rakyat yang memerlukan dengan menjadikannya sebagai satu tanggungjawab sosial.

“Saya tubuh Bantu-Bantu Malaysia menggunakan Rukun Negara sebagai tenaga dan falsafah. Covid-19 ini macam satu ujian, Malaysia kena buat ini (hayati Rukun Negara), ada tiga cara, kita mahu bagi orang sumbangan dan makanan, satu cara lagi kita mahu orang idea.

“Kalau kita ada RM50, macam mana kita nak guna untuk bantu satu-satu keluarga dan seterusnya mahu mewujudkan perpaduan,” katanya.

Menurutnya, rakyat perlu kembali kepada asas pembentukan negara yang terkandung di dalam Rukun Negara lebih-lebih lagi ketika negara berdepan dan memerangi penularan Covid-19.

“Konsep Rukun Negara sendiri adalah bantu sesama rakyat, malah ia menjadi ubat terbaik dan vitamin khususnya kepada Malaysia ketika diserang Covid-19,” katanya.

Selain JAWI Food Bank, pengasas pemaju hartanah terkemuka negara itu merasai denyut nadi rakyat yang terjejas sepanjang tempoh PKP termasuk peniaga-peniaga kecil dan pesara tentera.

“Kita akan terus kerja dengan JAWI Food Bank, hari ini kita sampaikan 1,000 bungkusan makanan dan mungkin mereka ada permintaan lagi.

“Selain JAWI, kita bantu pihak lain veteran tentera, 120 peniaga kecil yang memerlukan bantuan makanan asas,” katanya lagi. – MalaysiaGazette