Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Yb Zuraidah Kamaruddin

KUALA LUMPUR- Bagi memudahkan proses pembayaran cukai taksiran dibuat secara dalam talian, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) membangunkan sebuah aplikasi dikenali sebagai PBTPay.

Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata, aplikasi yang dilancarkan hari ini dijangka akan memudahkan urusan pembayaran cukai taksiran pelanggan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan membuat semakan hanya menggunakan telefon pinta, tanpa perlu hadir ke kaunter bayaran.

Jelas Zuraida, platform itu dilihat pendekatan yang seiring dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan demi menangani penularan Covid-19.

“Demi memudahkan rakyat berurusan dengan PBT terutama dalam tempoh PKP KPKT telah membangunkan aplikasi PBTPay untuk memberi kemudahan kepada pelanggan PBT membuat semakan dan membuat transaksi bayaran cukai taksiran kepada PBT secara atas talian atau online,” katanya ketika majlis pelancaran di bangunan KPKT hari ini.

Menurut Zuraida, sebagai permulaan, PBTPay melibatkan 46 PBT sahaja dahulu berbanding jumlah keseluruhan sedia ada iaitu, 99 bagi Semenanjung Malaysia.

“Peluasan kepada semua PBT lain, akan dilaksanakan secara berperingkat dan dijangka akan dilaksanakan sepenuhnya pada 2020,” katanya yang menyifatkan PBTPay merupakan sebahagian daripada komponen dalam pembangunan CityGateway KPKT yang merupakan pelan perancangan masa hadapan KPKT.

Beliau memaklumkan PBTPay mula dibangunkan pada tahun 2019, dan telah mula digunakan pada 15 Januari 2020 bagi modul semakan dan kutipan cukai.

Zuraida berharap agar setiap PBT yang terlibat dalam penggunaan aplikasi baharu ini akan memberikan kerjasama dalam mempromosikannya kerana ia turut memberi manfaat kepada pihak itu selain masyarakat.-MalaysiaGazette