Naib Presiden Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Masyarakat Malaysia (MSOSH), Dr Shawaludin Husin.

KUALA LUMPUR – Menerusi perutusan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini, kerajaan hanya membenarkan kira-kira 20 tetamu menghadiri jamuan Hari Raya Aidilfitri di sesebuah kediaman.

Bagaimanapun satu insiden terbaru di Bahrain perlu diambil iktibar sebelum keputusan menerima tetamu itu dilaksanakan oleh masyarakat.

Baru-baru ini, satu perhimpunan jamuan keluarga berbuka puasa bertukar menjadi satu mimpi ngeri apabila seramai 16 ahli keluarga dijangkiti Covid-19 selepas mereka dijangkiti seorang pembawa pandemik itu yang tidak menunjukkan sebarang simptom.

Menteri Kesihatan Bahrain memaklumkan insiden itu berlaku berikutan kealpaan orang ramai mematuhi garis panduan untuk mengelakkan sebarang perhimpunan, memakai topeng dan penjarakan sosial.

Kesannya, seorang pembawa menyebabkan kanak-kanak, adik beradik, warga emas turut dijangkiti wabak.

Naib Presiden Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Masyarakat Malaysia (MSOSH), Dr Shawaludin Husin berkata, insiden itu membuktikan bukan isu saiz rumah yang menjadi isu tetapi siapa tetamu yang datang itu perlu diketahui status kesihatannya.

“Jika berita, tidak pasti jangan kongsi. Begitu juga isunya, tetamu ketika musim Covid-19 ini, tak pasti kesihatannya sewajarnya tidak terima.

“Ini satu ujian dari kerajaan untuk melihat sejauh mana kita kesabaran kita patuh atau tidak apa yang diamalkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakkan sejak 18 Mac lalu.

“Jika kita gagal mematuhi segala yang sudah diamalkan sebelum ini, ia merugikan diri sendiri dan orang lain khususnya mereka yang kita sayang.

“Dua kes di Perak yang wajib jalani saringan untuk masuk kerja tiada simptom tetapi disahkan Covid-19 membuktikan masih ramai di luar sana tiada simptom tetapi tidak uji membawa wabak ke sana dan ke mari,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai menangguhkan dahulu membenarkan kedatangan tetamu ke rumah sehingga wabak itu berada di tahap risiko rendah.

“Kita tak mahu ada kluster raya pula, jika perasan selepas PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) sudah ada kluster-kluster baru, kluster kilang, kluster pembinaan dan lain-lain.

“Seperti kata Menteri Kesihatan, tempat paling selamat adalah di rumah, ubah budaya hantar duit raya secara online, poskan biskut raya buat pengganti diri kepada ibu bapa saudara mara.

“Jika kes sudah satu angka, boleh kita jalani kehidupan yang lebih bebas dengan rendah risiko,” katanya.- MalaysiaGazette