A'zlan Abu Bakar
Pengerusi Gerakan Tuntut Malaysia (TUNTUT), A'zlan Abu Bakar. foto AFFAN FAUZI, 28 JUN 2019

Keputusan Kerajaan Negeri Selangor yang diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari di dalam kenyataan Media Pejabat Menteri Besar Selangor bertarikh 12 Mei 2020 adalah bersifat pra-matang apabila kerajaan negeri itu menggariskan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai (PKPBD) Selangor.

Persoalan utama adakah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dirujuk dalam menggariskan tindakan keputusan PKPBD Selangor?

Dalam kerisauan rakyat ketika ini sudah tentu merasakan bahawa setiap keputusan yang dinyatakan pihak Kerajaan Negeri haruslah mempunyai kewajaran.

Ia bertujuan tidak memperlihatkan persepsi fahaman rakyat seolah-olah rantaian jangkitan Covid-19 telah berakhir.

Diingatkan bahawa penilaian ataupun keputusan haruslah mengutamakan perkara terpenting supaya kelangsungan usaha memutuskan jangkitan wabak Covid-19 selama ini tidak sia-sia walaupun Kerajaan Selangor berdepan dengan cabaran pergerakan ekonomi negeri yang terhenti seketika selama ini.

Melihat daripada keputusan PKPBD oleh Menteri Besar Selangor adalah hampir selari dengan Kerajaan Persekutuan namun beberapa perkara diubahsuai itu tiada kewajaran.

Antaranya seperti kebenaran aktiviti memancing. Ini sahaja telah menggambarkan bahawa keputusan yang dikatakan pra-matang oleh Menteri Besar amat mengecewakan rakyat Selangor.

Dalam keadaan begini, Kerajaan Selangor diingatkan supaya jangan keliru antara keperluan mahupun keutamaan bagi menjamin rakyat Selangor seiring dalam keselamatan yang terjamin serta kelangsungan kembali sumber pendapatan rakyat.

Adalah lebih baik merasakan usaha menangani rantaian jangkitan Covid-19 masih belum berakhir. Dalam bahasa lain, kita belum menang dan juga kita belum kalah.

Kami tuntut supaya Kerajaan Negeri Selangor meneliti semula beberapa perkara dalam keputusan PKPBD Selangor ini demi memastikan rakyat terus memahami situasi sebenar bahaya akan jangkitan Covid-19 ini.

A’ZLAN HJ ABU BAKAR merupakan Pengerusi Gerakan Aktivis Tuntut Malaysia.