Muhyiddin Yassin (kiri) dan Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Majlis Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 yang dijadulkan berlangsung pada 18 Mei ini hanya melibatkan Titah Diraja Istiadat Pembukaan Penggal oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong sebagai satu keputusan tidak wajar.

Ini kerana, pembangkang dimaklumkan bahawa akan ada sedikit isu-isu membabitkan titah Yang d9-Pertuan Agong dan Rang Undang-Undang Pembekalan akan dibahaskan.

“Tetapi semalam kami dapat maklumat tidak ada, hanya perasmian dan selepas itu Dewan Rakyat ditangguhkan. Ini bukan keputusan wajar.

“Kalau disebabkan Covid-19, kakitangan Parlimen sudah siap menyusun kerusi-kerusi. Kalau sudah siap, tentu ada sidang,” katanya yang bersiaran langsung melalui Facebook hari ini.

Ketua Pembangkang itu percaya, keputusan tersebut kerana kemungkinan besar kerajaan belum ada keyakinan untuk mendapat sokongan majoriti dalam kalangan ahli-ahli Parlimen.

Katanya, walaupun ahli-ahli Parlimen ada membuat pengakuan tetapi tetap berlaku pertaruhan kedudukan dan jawatan dalam Kabinet dan syarikat-syarikat milik kerajaan.

”Ahli-ahli Parlimen tanya apakah jawatannya. Kalau tak dapat jawatan menteri, lompat; tak dapat GLC, lompat. Akhirnya dunia politik ibarat katak dan bukan lagi nilai dan prinsip,” ujarnya.

Beliau berharap para pengundi mengambil iktibar situasi ini.

Anwar memberi peringatan kepada para pengundi agar pilihlah pemimpin yang ada prinsip dan idealisme.

“Pertahankan golongan ini. Jangan pilih pemimpin yang boleh dijual beli,” tambahnya.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, sidang Dewan Rakyat yang bakal berlangsung Isnin depan tiada apa-apa gangguan akan berlaku.

Pakatan Harapan akan membantah jika perkara itu berlaku.

”Saya jangka tiada apa-apa boleh berlaku. Tidak boleh buat pencelahan, tidak sesuai dengan adab dan peraturan.

”PH akan bantah kalau ada gangguan ketika raja menyampaikan titah,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Dewan Rakyat tak bersidang, hanya Istiadat Pembukaan YDPA

1 Komen

  1. hari ini hari dia. biarkan lah dia buat apa saja. nanti esok hari kita. kita buat lah pula ikut suka kita. barulah adil setiap orang jadi pm hanya sepenggal saja.

Comments are closed.