Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR- Pasangan suami isteri yang tinggal berjauhan dibenarkan untuk melakukan perjalanan rentas negeri seminggu sekali untuk bertemu keluarga.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka yang berhasrat berbuat demikian perlu melaporkan diri di balai polis yang berhampiran sebelum memulakan perjalanan.

“Seperti diumumkan Perdana Menteri sebelum ini, suami atau isteri yang duduk berjauhan diberikan kelonggaran untuk melakukan perjalanan rentas negeri untuk berjumpa dengan keluarga.

“Mesyuarat telah bersetuju untuk memberikan kebenaran pergerakan rentas negeri untuk bertemu keluarga masing-masing seminggu sekali sahaja.

“Bagaimanapun, mereka yang berhasrat untuk berbuat demikian perlu melaporkan diri di balai polis yang berhampiran,” katanya dalam sidang media harian hari ini.

Selain itu, Ismail Sabri turut mengumumkan kebenaran kerajaan untuk perkhidmatan haiwan termasuk pusat ekuestrian beroperasi.

Ini katanya, selepas terdapat aduan yang mengatakan kebajikan haiwan di dalam kandang terabai sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kebenaran ini adalah untuk memastikan kebajikan haiwan dijaga termasuk pemberian makanan dan pembersihan kandang,” jelasnya.- MalaysiaGazette