Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berpakaian PPE melakukan saringan terhadap penduduk berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi membendung penularan Covid-19 ketika tinjauan Malaysia Gazette di sekitar Pasar Jalan Othman, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 11 MEI 2020.

KUALA LUMPUR – Pelajar dan kakitangan di madrasah dan  sekolah tahfiz dikategorikan sebagai golongan berisiko tinggi mendapat jangkitan Covid-19.

Menurut Pusat Kesiapsiagaan dan Respon Krisis (CPRC) Kebangsaan, mereka dikaitkan dengan perhimpunan di Seri Petaling iaitu kluster terbesar di Malaysia dan ia masih aktif.

“Sehingga 14 Mei, seramai 19,209 pelajar dan kakitangan dari 370 madrasah, tahfiz atau sekolah pondok sudah disaring dan diuji sampel serta hasilnya 635 disahkan positif.

“Hasil saringan ini, didapati kadar positif kumpulan berisiko ini 5.1 peratus dibandingkan 4.4 peratus pada minggu sebelumnya.

“Trend kenaikan kadar positif ini membimbangkan kerana kebarangkalian untuk mereka menjangkiti orang lain makin meningkat,” katanya CPRC Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut CPRC lagi, daripada 635 orang yang positif itu, 539 atau 85 peratus tidak menunjukkan sebarang gejala termasuk tiada masalah pernafasan termasuk sesak nafas.

Dengan kata lain, pelajar dan kakitangan madrasah, sekolah tahfiz atau sekolah pondok boleh menjangkiti ahli keluarga dan orang sekeliling atau masyarakat setempat dengan mudah.

“Setakat ni, enam kluster di madrasah dan tahfiz dan terbaru Madrasah Solok Duku di Melaka (dua pelajar dan dua ahli keluarga kakitangan disahkan positif).

“Daripada 6 kluster ni, 4 disahkan subkluster perhimpunan di Seri Petaling manakala 2 lagi masih dalam siasatan,” katanya.

Sehubungan itu, KKM menasihatkan pelajar terbabit yang telah pulang ke rumah, ibu bapa atau penjaga diminta menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) terdekat untuk diambil sampel untuk ujian.

“Bagi pelajar yang yang masih berada di asrama, mereka diminta kekal di asrama dan tidak keluar. Hubungi PKD terdekat untuk ujian pensampelan.

“Kepada pemilik atau pengurusan madrasah, tahfiz atau sekolah pondok, mereka diminta menghubungi PKD terdekat dan menyalurkan maklumat diperlukan bagi KKM menjalankan pendekatan tertumpu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette