Antara penduduk yang tiba untuk melakukan ujian saringan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan penularan Covid-19 ketika tinjauan Malaysia Gazette di sekitar kawasan Jalan Pudu, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 15 MEI 2020

KUALA LUMPUR – Penghuni-penghuni rumah pangsa di Jalan Pudu berhampiran Pasar Pudu di sini diarah untuk menjalani ujian saringan Covid-19.

Pemeriksaan dilakukan oleh kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang lengkap berpakaian Peralatan Perlindungan Diri (PPE) selepas kawasan kawasan itu diperketatkan kawalan secara pentadbiran.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, ribuan penduduk kawasan sekitar Jalan Pudu meliputi Jalan Landak, Jalan Pasar dan Jalan Brunei, didapati sedang berbaris menjalani pemeriksaan dan saringan kesihatan Covid-19.

Berdasarkan pemerhatian terdapat tiga khemah yang digunakan untuk melakukan saringan Covid-19 di dalam kawasan yang dipasang pagar kawat duri.

Rata-rata mereka yang diperiksa adalah penduduk yang mendiami rumah kedai lima tingkat di sekitar kawasan itu dengan sebahagian besar daripada mereka adalah warga asing.

Pada masa sama, pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengawasi dan meronda di seluruh kawasan berkenaan.

Satu laluan dibuka tidak jauh dari pusat beli-belah Plaza Pudu yang dikhaskan untuk urusan penghantaran dan pembelian barang oleh mereka yang mendiami kawasan yang dikawal itu.

Kawalan secara pentadbiran di kawasan berkenaan telah bermula sejak pukul 11 malam tadi dan pegawai dan anggota ATM mula memasang pagar kawat duri.

Dengan adanya arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa itu ia sekaligus menjadikan ianya seperti Jalan Raja Bot, Chow Kit, yang sebelum ini diisytiharkan sebagai kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). – MalaysiaGazette