Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan telah bersetuju supaya ibu bapa membayar tambang bas sekolah anak mengikut kemampuan masing-masing sepanjang sekolah ditutup.

Selain itu, kerajaan juga membenarkan pengusaha bas sekolah menghantar bungkusan dan membawa mahasiswa pulang ke kampung dalam tempoh yang sukar ini.

Presiden Gabungan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia (GPPBSM), Mohd. Rofik Mohd Yusoff berkata, keputusan tersebut merupakan antara perkara yang dipersetujui dalam pertemuan pemandu bas sekolah dengan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong pada Khamis.

“Pendekatan menang-menang telah dicapai iaitu ibu bapa boleh terus membayar tambang jika keadaan mereka mengizinkan. Jika mereka betul-betul susah, mereka boleh tidak membayar buat sementara waktu.

“Kalau bayar 20 peratus atau 50 peratus tambang pun tidak apa, sekurang-kurangnya pemandu dan ibu bapa boleh mengekalkan hubungan yang baik dan terus menghantar anak mereka ke sekolah apabila sesi sekolah bersambung,” katanya kepada China Press.

Mohd. Rofik bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan Menteri Kanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya bas sekolah menjadi bas kilang semasa sekolah ditutup.

Katanya, keadaan itu berlaku kerana bas kilang masih mampu menampung permintaan pada masa ini dan “campur tangan” daripada bas sekolah akan menyebabkan rasa tidak puas hati pemandu bas kilang.

Menurutnya, ibu bapa juga mungkin berasa bimbang dengan risiko wabak COVID-19 jika bas sekolah digunakan untuk menghantar pekerja kilang.

“Kami sebaliknya mencadangkan supaya bas sekolah membantu menghantar tiga  juta bungkusan Pos Laju yang belum dihantar selain menghantar mahasiswa untuk balik kampung.

“Pihak menteri telah bersetuju dengan cadangan kami,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Satu berita yg bagus untuk pengusaha bas sekolah, syukur, sekurang- kurang nya ada duit yg masuk untuk kita bayar overhead seperti gaji, sewa depot dan sebagainya. Paling penting pengusaha bas sekolah bincang dgn ibubapa mencari kadar bayaran yg munasabah dan dipersetujui bersama.

Comments are closed.