Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kedai Tenaga di Wilayah Persekutuan Putrajaya, Johor, Pahang, Terengganu dan Melaka serta di Seri Manjung, Perak (kecuali UTC)) akan beroperasi semula mulai esok, 18 Mei 2020 berikutan 47 lokasi Kedai Tenaga kini berada dalam kategori zon hijau dan kuning Covid-19.

Operasi bacaan meter dan penyerahan bil elektrik di negeri-negeri berkenaan pula akan dimulakan semula pada 19 Mei 2020 secara beransur-ansur.

Sebelum ini, pada 12 Mei lalu Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menyambung semula operasi Kedai Tenaga serta operasi bacaan meter secara berperingkat bermula di Kedah, Perlis, Kelantan, Pulau Pinang dan Perak (kecuali Sri Manjung) selari dengan kelonggaran kepada sektor perkhidmatan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pembukaan semula 47 lagi Kedai Tenaga ini membolehkan pelanggan TNB membuat transaksi berkaitan perkhidmatannya di 92 Kedai Tenaga (kecuali UTC) serta 57 kios pembayaran layan diri.

elain pembayaran bil elektrik, pelanggan juga boleh melakukan pelbagai transaksi di Kedai Tenaga termasuklah pertanyaan bil, permohonan baharu untuk bekalan elektrik, penukaran nama penyewa (change of tenancy) dan penutupan akaun.

Waktu operasi Kedai Tenaga adalah 9 pagi sehingga 4 petang kecuali pada hujung minggu dan cuti umum. Kios pembayaran layan diri pula beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam.

Bagi mengelakkan penyebaran virus Covid 19, Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan kepada semua premis perniagaan diguna pakai di Kedai Tenaga.

Bagi pelanggan yang inginkan alternatif lebih pantas dan mudah, mereka digalakkan menggunakan portal myTNB di www.mytnb.com.my atau muat turun aplikasi myTNB secara percuma melalui Google Play Store atau Apple App Store untuk mendapatkan salinan bil terkini dan membuat pembayaran bil.

TNB juga menawarkan saluran alternatif bagi pembayaran digital seperti JomPAY dan perbankan Internet.

Pelanggan juga boleh membuat pembayaran secara tunai di cawangan Pos Malaysia, 7-Eleven, 99 Speedmart, KK Mart, Kedai Mesra Petronas, Shell Select dan Ejen Bank Berdaftar di kedai BSN, Agro Bank atau bank Rakyat. – MalaysiaGazette