Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini memperluaskan pengesanan warga asing yang tinggal di rumah kedai - kawasan luar daripada kawasan pemasangan kawat duri di Jalan Pudu.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini memperluaskan pengesanan warga asing yang tinggal di rumah kedai – kawasan luar daripada kawasan pemasangan kawat duri di Jalan Pudu.

Difahamkan seramai 110 warga asing yang berada di kawasan berdekatan Jalan Pudu termasuklah Jalan Lengkongan Brunei yang akan menjalani ujian saringan Covid-19.

Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan saringan ke atas penduduk berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berikutan penularan Covid-19 ketika tinjauan Malaysia Gazette di sekitar kawasan Jalan Pudu, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 17 MEI 2020.

Kelihatan petugas-petugas KKM sendiri yang memanggil warga asing yang tinggal di rumah-rumah kedai kawasan kawalan secara pentadbiran tersebut.

Selain itu turut difahamkan KKM telah selesai membuat saringan terhadap penghuni sekitar kawasan D’Majestic Place hingga ke persimpangan Jalan Pasar/Jalan Pudu dan Jalan Landak dan justeru itu saringan diluaskan ke radius berdekatan.

Berbeza dari semalam, penghuni penduduk Jalan Pudu hari ini tidak dibenarkan keluar membeli barang di kedai berdekatan sebaliknya dibantu oleh kenalan dari kawasan luar.

Anggota ATM melakukan pemeriksaan keatas makanan yang diserahkan kepada penduduk berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berikutan penularan Covid-19 ketika tinjauan Malaysia Gazette di sekitar kawasan Jalan Pudu, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 17 MEI 2020.

Pemerhatian MalaysiaGazette mendapati semua warga asing diarahkan ke pusat saringan dan mereka kelihatan memberikan kerjasama kepada petugas KKM.

Semalam, dilaporkan lebih 12 warga asing disyaki menjadi kontak rapat kepada dua yang didapati positif Covid-19 di situ.

Selepas menjalani saringan semalam, kesemua mereka dibawa keluar kawasan kawalan secara pentadbiran itu dengan dua bas Jabatan Bomba dan Penyelamat.-MalaysiaGazette