ADUN Jeneri, Muhammad Sanusi Md Noor mencium tangan ibu tercinta, Meriam Ahmad sambil disaksikan isterinya, Jusmalailani Jusoh dan bapanya, Md Nor Taib di Kompleks Pas Kedah selepas selesai angkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah . Kredit foto: Pas Kedah

KUALA LUMPUR – Menteri Besar (MB) Kedah yang baharu, Muhammad Sanusi Md. Nor bersedia “menekan butang reset bagi projek pembangunan tertentu di bawah kerajaan terdahulu sekiranya difikirkan perlu.

Selain itu, pihaknya juga melaksanakan “projek penting” dan menambah baik projek lain demi kepentingan rakyat.

Ahi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu juga berikrar menyingkirkan imej Kedah sebagai “negeri termiskin” dengan mengambil langkah drastik membasmi kemiskinan dan memfokuskan ekonomi berasaskan pertanian.

Beliau memberi jaminan keselamatan makanan yang mampu memenuhi permintaan seluruh negara dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada pengimportan makanan.

Beliau juga akan menumpukan perhatian untuk menyediakan bekalan air bersih, internet berkelajuan tinggi dan meningkatkan taraf hidup rakyatnya.

“Kami akan bekerja keras untuk menangani isu yang membelenggu kami selama ini. Kami juga berharap untuk mendapat maklum balas membina daripada semua,” katanya pada sidang media pertamanya du Alor Setar hari ini.

“Kerajaan Kedah komited untuk bekerjasama dengan perdana menteri, Kabinetnya dan jentera persekutuan. Kami mahu menyelesaikan isu dan memenuhi keperluan rakyat,” katanya berdasarkan rakaman sidang medianya di Kedah Gazette hari ini.

Dalam pada itu, beliau akan memilih barisan exconya dalam masa terdekat.

Sanusi turut mengucapkan terima kasih kepada bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir atas sumbangannya dan kerjasama dalam memastikan peralihan kerajaan negeri yang lancar.

Mengenai sokongan Pas Kedah kepada Mukhriz sebagai MB sebelum ini, Sanusi berkata, ia adalah jangka masa berbeza.

“Masa itu, saya pergi berjumpanya dan memberi sokongan kepadanya untuk menjadi MB. Saya berbuat demikian supaya beliau dapat mengelakkan pertembungan politik yang akan merugikan rakyat. Hubungan (dengan kerajaan persekutuan) mula berubah ketika itu.

“Kita perlu sedar yang perubahan kerajaan ini bukan daripada Pas tetapi daripada Pakatan Harapan sendiri,” katanya.

Beliau merujuk kepada dua wakil rakyat PKR, iaitu ADUN Sidam, Robert Ling dan ADUN Lunas, Azman Nasrudin yang keluar parti Selasa lalu serta menyokong Perikatan Nasional (PN).

Tindakan dua ADUN itu serta empat lagi ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyokong PN menyebabkan ia mendapat sokongan 23 daripada 36 wakil rakyat.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

ADUN Jeneri Menteri Besar Kedah Ke-14