sejak 27 April lalu sehingga semalam, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah menghantar pulang seramai 49,019 pelajar ke pangkuan keluarga masing-masing.-Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Semua pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang telah dihantar pulang diminta supaya mengambil iktibar daripada beberapa kes pelajar IPT yang telah diwajibkan menjalani kuarantin di rumah namun didapati tidak patuh kepada notis arahan yang diberikan.

Itu nasihat Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang memberitahu, pelajar IPT yang ingkar sebelum ini telah melanggar arahan di bawah Seksyen 14, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit,1988 (Akta 342).

“Mereka ini juga kemudiannya didapati positif Covid-19. Ini boleh memberi risiko jangkitan Covid-19 kepada orang yang berisiko tinggi seperti warga emas, kanak-kanak dan orang yang mempunyai sejarah penyakit kronik,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di kementeriannya hari ini.

Noor Hisham berkata, sejak 27 April lalu sehingga semalam, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah menghantar pulang seramai 49,019 pelajar ke pangkuan keluarga masing-masing.

Ujarnya, bagi perjalanan merentas negeri di Semenanjung Malaysia, kesemua pelajar adalah diwajibkan menjalani kuarantin di rumah untuk tempoh 14 hari apabila tiba di kediaman.

Manakala, bagi pelajar yang pulang ke Sabah dan Sarawak pula, mereka perlu menjalani persampelan Covid-19.

Sekiranya keputusan adalah negatif, baki tempoh kuarantin perlu dijalankan di rumah masing-masing, katanya.

Sementara itu, Noor Hisham memberitahu, setelah dua bulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama sehingga keempat dan disusuli Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini, pihaknya mendapati tren jumlah kes aktif Covid-19 semakin menurun.

Pencapaian itu katanya, adalah hasil daripada kepatuhan orang ramai kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan di bawah pelaksanaan PKP dan PKPB.

“Sehingga 18 Mei 2020, daripada jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Malaysia iaitu 6,941 kes, sebanyak 961 orang adalah warga emas yang berumur 60 tahun dan ke atas iaitu 13.8 peratus.

“Manakala, kanak-kanak yang berumur 12 tahun dan ke bawah pula merangkumi 318 orang iaitu 4.6 peratus,” katanya.

Menurut Noor Hisham lagi, jika dilihat dari segi faktor komorbiditi, setakat semalam didapati 10.8 peratus atau 744 kes daripada keseluruhan kes positif Covid-19 merupakan pesakit yang menghidap penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, penyakit buah pinggang, penyakit jantung dan lain-lain penyakit.

Ujarnya, kumpulan-kumpulan berisiko tinggi itu dan perlu dilindungi dan disebabkan itu juga sempadan negara, negeri, daerah, rumah dan juga keluarga perlu dibuat. – MalaysiaGazette