SINGAPURA – Harga minyak melonjak lebih daripada AS$1 setong pada hari Isnin ke paras tertinggi lebih dari sebulan, disokong oleh pemotongan pengeluaran yang berterusan.

Kenaikan ini juga merupakan tanda-tanda pemulihan terhadap permintaan bahan bakar secara beransur-ansur apabila banyak negara sudah melonggarkan sekatan perjalanan yang dilaksanakan sebelum ini untuk menghentikan penyebaran wabak koronavirus.

Minyak mentah Brent LCOc1 naik AS$1.34, atau 4,1%, kepada AS$ 33,84 setong pada 1244 GMT, setelah mencapai paras tertinggi sejak 13 April lalu.

Minyak mentah Amerika Syarikat, West Texas Intermediate CLc1 naik AS$1.40 atau 4.8% kepada AS$30.83 setong, tertinggi dalam sembilan minggu atau sejak 16 Mac lalu.

Kontrak WTI Jun akan berakhir pada hari Selasa, tetapi tidak ada tanda-tanda WTI mengulangi kejatuhan bersejarah di bawah sifar pada malam tamatnya kontrak Mei, bulan lalu.

Pengeluaran juga merosot apabila firma tenaga AS mengurangkan jumlah pelantar minyak dan gas asli yang beroperasi ke paras terendah sepanjang masa untuk minggu kedua berturut-turut.

Ia sebahagiannya membantu meredakan kebimbangan mengenai titik penghantaran kontrak WTI di Cushing, Oklahoma, yang kehabisan ruang. – MalaysiaGazette