Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Semakin dekat dengan Aidilfitri, semakin banyak kenderaan cuba membuat pergerakan rentas negeri atas alasan mahu pulang ke kampung.

Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sebanyak 1,175 kenderaan cuba merentas negeri atas alasan mahu pulang ke kampung diarah berpatah balik oleh Polis Diraja Malaysia, semalam.

Pihak polis juga katanya telah mengadakan 148 sekatan jalan raya rentas sempadan negeri di seluruh negara dan memeriksa 156,096 kenderaan.

“Walaupun telah diberi pelbagai nasihat masih ramai yang mahu merentas negeri untuk berhari raya.

“Sudah tentu mereka ini akan diarahkan oleh PDRM untuk berpatah balik.

“Saya harap mereka tidak perlu mencuba untuk merentas negeri kerana tidak boleh lepas dan apabila diarahkan untuk berpatah balik, ini akan menyusahkan mereka pula,” katanya semasa sidang media hari ini.

Dalam pada itu, beliau mengumumkan isu pelajar institusi pengajian tinggi dari Sabah yang masih tidak dapat pulang ke kampung masing-masing telah diselesaikan.

Jelasnya, isu tersebut timbul kerana pusat kuarantin wajib di Sabah tidak dapat menampung kepulangan pelajar untuk menjalani kuarantin wajib 14 hari.

“Bagaimanapun, KKM dan KPT bersama Kerajaan Negeri Sabah telah membuat keputusan untuk mewajibkan setiap menjalani ujian saringan COVID-19, sebelum mereka berlepas pulang.

“Bagi mereka yang disahkan negatif COVID-19 akan dibenarkan untuk meneruskan perjalanan. Manakala bagi yang disahkan positif COVID-19, mereka akan dihantar ke hospital untuk rawatan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette