Timbalan Ketua Wanita KIMMA Kebangsaan, Chand Bee Jemal Deen bersama 1,000 baju kurung untuk diagihkan.

KUALA LUMPUR – Suasana Aidilfitri tahun ini dijangka tidak semeriah tahun-tahun sebelumnya berikutan penularan pandemik Covid-19 yang menyebabkan ramai hilang pekerjaan dan punca pendapatan.

Berikutan itu, Pergerakan Wanita Kongres Indian Muslim Malaysia (KIMMA) mengambil inisiatif mengagihkan 1,000 pasang baju kurung siap kepada ibu tunggal dan golongan asnaf di seluruh Selangor.

Timbalan Ketua Wanita KIMMA Kebangsaan, Chand Bee Jemal Deen berkata, sumbangan utama pakaian itu adalah daripada syarikat Janab Intizar.

“Terdapat 10 variasi warna baju yang didatangkan dengan saiz dari XS, S, M, L dan XL, jahitan kemas dan material kain berkualiti.

“Ini adalah tahun ke enam sumbangan dilaksanakan dan agihan disalurkan melalui madrasah, surau dan Ketua Wanita Negeri.

“Walaupun pergerakan terhad tetapi kami sedaya upaya turun padang untuk membantu mereka yang memerlukan,” katanya baru-baru ini.

Beliau merangkap Ketua Wanita KIMMA Negeri Selangor berkata, agihan bermula petang ini dan jika ia tidak mencukupi kemungkinan akan ditambah.

Sepanjang PKP ini, KIMMA Negeri Selangor sudah mengagihkan makanan dan keperluan asas kepada lebih 500 individu.- MalaysiaGazette