Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

KUALA LUMPUR – Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan rakyat Selangor agar budaya dan amalan-amalan biasa ketika menyambut Hari Raya pada tahun ini mengikut norma-norma baharu berikutan penularan wabak Covid-19.

Titah baginda, amalan seperti kunjung-mengunjung dan salam-bersalaman tidak sesuai diamalkan buat masa ini bagi mengelak risiko penularan wabak yang masih ada di luar sana.

Budaya balik ke kampung khususnya yang memerlukan perjalanan merentas negeri juga haruslah dielakkan.

”Jangan berkumpul atau anjurkan majlis rumah terbuka yang hanya akan memungkinkan wujudnya kluster-kluster baharu jangkitan.

”Meskipun statistik jangkitan kes baharu Covid-19 di Selangor semakin menunjukkan penurunan, namun kita harus terus waspada dan mengambil langkah berjaga-jaga, menurut Sultan Selangor dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri.

Tegas baginda, apa yang penting, rakyat mesti bersatu bagi memastikan wabak ini dapat dikawal dan ekonomi negara terus kukuh.

Dalam perutusan baginda, Sultan Selangor turut mengingatkan rakyat supaya memperbanyakkan ibadat serta menjauhi perbuatan tidak baik yang boleh mendatangkan dosa seperti menyebarkan fitnah dan berita palsu yang boleh memberi kesan yang tidak elok kepada masyarakat.

Baginda turut menyeru orang Melayu agar terus bersatu padu, usah bertelagah dan jangan mengadu domba antara satu sama lain demi mengelakkan perpecahan. – MalaysiaGazette