Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Lebih ramai pencarum Kumpulan Wang Simpanan Wang Pekerja (KWSP) memilih untuk mengekalkan caruman pada kadar 11 peratus pada bulan Mei walaupun diberi kelonggaran untuk mengurangkan caruman kepada tujuh peratus sahaja.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, setakat 17 Mei lalu sejumlah 1.5 juta atau hampir 20 peratus ahli KWSP memilih untuk mengekalkan caruman mereka berbanding 1.2 juta pada keseluruhan bulan April.

Kerajaan memberi kelonggaran untuk mengurangkan caruman kepada tujuh peratus bagi memberi lebih banyak pendapatan boleh guna kepada pekerja serta meningkatkan kuasa membeli rakyat terutama ketika berhadapan pandemik Covid-19.

Selain pengurangan caruman, KWSP turut memperkenalkan program i-Lestari KWSP yang membolehkan pencarum mengeluarkan wang daripada akaun 2 masing-masing.

“Sehingga 17 Mei, sebanyak 4.4 juta permohonan telah diterima dan 3.9 juta telah diluluskan, iaitu peningkatan daripada 3.7 juta daripada minggu lalu. Jumlah pembayaran ini melibatkan RM1.83 bilion sebulan,” katanya semasa membentangkan Laporan Laksana Keenam Pakej Prihatin hari ini.

Menyentuh mengenai elaun khas petugas barisan hadapan, Tengku Zafrul berkata, kerajaan maklum mengenai kesukaran memohon bantuan tersebut disebabkan kerenah birokrasi.

Dengan itu, Kementerian Kewangan katanya, sedang bekerjasama dengan jabatan dan agensi berkaitan bagi memudahkan proses tersebut.

“Apa-apa pun, jangan bimbang, Kerajaan akan memastikan elaun akan sampai kepada petugas barisan hadapan yang layak,” ujarnya.

Tambahnya, kerajaan telah membuat bayaran bulan pertama sebanyak RM62 juta daripada RM500 juta yang diperuntukkan.

Mengenai diskaun bil elektrik pula, setakat 17 Mei, secara keseluruhannya, pelanggan Tenaga Nasional Berhad telah menerima diskaun sebanyak RM288 juta, iaitu lebih 67 peratus untuk kegunaan domestik dan selebihnya untuk industri.

Majoriti jumlah ini telah memanfaatkan rakyat dari segi mengurangkan beban bayaran bil elektrik bulanan, terutamanya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan  dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat. – MalaysiaGazette