foto IQBAL BASRI, 01 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Petronas Dagangan Bhd. (PDB) merekodkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM18.4 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2020 berbanding keuntungan sebelum cukai RM383 juta bagi tempoh sama tahun lepas.

Prestasi lemah itu disebabkan kejatuhan harga produk petroleum dan penurunan permintaan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pertengahan Mac 2020.

Bagaimanapun menurut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azrul Osman Rani, syarikat menjangkakan prestasi lebih baik pada separuh kedua tahun ini.

“Prestasi suku pertama tahun terjejas teruk akibat kejatuhan harga produk petroleum dan kami meramalkan perkara ini akan berterusan sehingga suku kedua akibat pelaksanaan PKP pula.

“Namun begitu, kami menjangkakan masa hadapan yang lebih baik pada separuh kedua tahun ini apabila terdapat petunjuk-petunjuk positif dalam harga produk petroleum serta ada sedikit peningkatan dalam permintaan ketika ini susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Kami bersedia untuk melantun semula apabila pasaran kembali kepada asal,” katanya dalam satu kenyataan.

Perolehan PDP merosot sebanyak lapan peratus kepada RM6.5 bilion berbanding tempoh sama tahun lepas berikutan kemerosotan jualan Mogas, Jet A1 dan diesel.

Bagaimanapun, PDB mencatatkan pertumbuhan dalam perniagaan gas memasak di rumah yang mana jualan meningkat sebanyak dua peratus selain pertumbuhan 20 peratus dalam pendapatan Kedai Mesra. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast