Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

KUALA LUMPUR -Pengerusi Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berpuas hati dengan pematuhan orang awam yang menaiki pengangkutan awam di sekitar ibu kota.

Selepas membuat tinjauan dengan menaiki bas dari Bangsar ke stesen Semantan seterusnya menaiki Transit Aliran Massa (MRT) ke Pasar Seni, beliau menyifatkan tahap disiplin orang ramai daripada aspek penjarakan sosial adalah 100 peratus.

“Tidak ada yang tidak mematuhi, semua patuh, rakyat Malaysia sangat berdisiplin dan patuh arahan yang banyak buat masalah tu yang datang dari luar,” katanya ketika sidang media di Stesen Integrasi Pasar Seni.

Beliau turut memuji tahap kebersihan Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) dan MRT Corp selain penyediaan kemudahan yang dilihatnya banyak membantu masyarakat dan patut dibanggakan.

“Saya difahamkan proses nyah kuman dilakukan hari-hari di bas, begitu juga di tren oleh pihak pengurusan dan kakitangan Prasarana. Saya ucap tahniah kepada pihak pengurusan Prasarana,” ujarnya.

Menyifatkan kemudahan yang disediakan oleh syarikat pengangkutan awam dalam negara khususnya Prasarana dan MRT Corp sebagai bertaraf dunia, Tajuddin menambah, pengangkutan awam boleh dijadikan salah satu produk pelancongan.

Jelas beliau, ini kerana pelancong yang datang ke negara ini khususnya berada di sekitar ibu kota bergantung kepada pengangkutan awam.

Terdahulu Tajuddin menghabiskan masa lebih kurang sejam untuk memantau tahap pematuhan peraturan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada masyarakat yang mula dibenarkan keluar apabila kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). -MalaysiaGazette