Dr. Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA – Seramai 30 ahli keluarga wanita hamil di Kelantan yang disahkan positif Covid-19 selepas melakukan perjalanan rentas negeri dari Ampang baru-baru ini sudah melakukan ujian saringan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, seramai 20 ahli keluarga yang melalui saringan dikesan negatif Covid-19 manakala 10 lagi masih menunggu keputusan.

“Daripada segi kontak rapat pula, kita akan lihat sama ada di tempat destinasi itu atau tempat asal di Ampang dengan menjalankan saringan,” katanya pada sidang media hari ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam mengesahkan bahawa wanita hamil 35 minggu itu positif Covid-19 selepas melakukan rutin pemeriksaan di klinik kesihatan ibu dan anak di Kuala Krai, Kelantan.

Langkah itu dibuat selepas dia melakukan perjalanan dari Ampang, yang juga kawasan berstatus zon merah.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob, pula berkata, polis memberi kebenaran kepada seorang wanita mengandung itu merentas negeri dari Ampang, Kuala Lumpur untuk bersalin di kampung halamannya di Kelantan.

Wanita berkenaan tiba di kampungnya di Kampung Sungai Durian, Kuala Krai pada Jumaat lalu iaitu di luar tempoh pergerakan rentas negeri yang dibenarkan di antara 7 hingga 10 Mei lalu. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kluster perantau: Wanita mengandung pulang ke Kelantan positif Covid-19