SEOUL – Sebuah sekolah tinggi di Daegu, pusat gelombang pertama wabak COVID-19 di Korea Selatan, ditutup semula pada Khamis sehari selepas dibuka, apabila seorang pelajarnya disahkan positif dijangkiti virus itu.

Menurut Pejabat Pendidikan Metropolitan Daegu, seorang pelajar senior sekolah tinggi pertanian yang tinggal di asrama disahkan dijangkiti COVID-19, mendorong pihak berkuasa menutup semula sekolah dan semua pelajar lain diarah pulang ke rumah atau dikuarantin, lapor agensi berita Yonhap.

Sekolah di Korea Selatan mula dibuka semula pada Rabu bermula sekolah tinggi manakala sekolah rendah dan menengah akan kembali beroperasi secara bertahap bermula 8 Jun.

Pelajar itu tinggal di Gumi, wilayah Gyeongsang Utara, kembali ke asrama pada Selasa petang sebelum mengambil ujian saringan COVID-19 pada hari berikutnya.

Ada juga sekolah di wilayah lain dilaporkan ditutup semula.

Di Incheon, semua pelajar sekolah tinggi di 66 sekolah diarah pulang selepas dua pelajar disahkan dijangkiti virus itu.

Kira-kira 60 pelajar di wilayah Gyeongsang Utara, hampir 30 di wilayah Gyeonggi dan lima di wilayah Chungcheong Utara diarah balik ke rumah atau dibawa ke hospital selepas menunjukkan gejala demam dan sakit tekak.- BERNAMA