LONDON – Rangkaian kedai kasut Clarks akan mengurangkan sebanyak 900 pekerjanya di seluruh dunia dalam usaha mengembalikan kedudukannya semasa pasca pandemik Covid-19.

Syarikat yang berusia 195 tahun itu berkata, ia terpaksa melakukan keputusan sukar untuk mengembalikan perniagaannya yang menyaksikan kejatuhan jualan sejak beberapa tahun lalu.

Pekerja-pekerja akan dilepaskan dalam tempoh 18 bulan lagi, kata Clarke bagi memulihkan firma tersebut yang mana akan mewujudkan 200 peluang pekerjaan baharu.

Tahun lalu ia mengurangkan 170 pekerja.

Clarks mempunyai 13,000 pekerja di seluruh dunia.

“Ada peluang menarik untuk perniagaan kami namun kami harus membuat beberapa keputusan sukar untuk sampai ke sana,” kata Ketua Eksekutif Giorgio Presca sambil mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan yang telah memberi sumbangan kepada perniagaan Clarks.

Clarks menutup semua kedainya di United Kingdom dan Ireland semasa sekatan perjalanan akibat koronavirus dan akan membukanya semula apabila betul-betul selamat.

Setakat ini, Clarks telah membuka semula kedainya di negara-negara lain termasuk China yang telah menarik sekatan perjalanan.

Syarikat ini mencatatkan kerugian 84.4 juta pound pada tahun lalu kerana penjualan menurun.

Ia menjual 20 juta pasang kasut dalamĀ  tempoh setahun sehingga Februari tahun lalu, susut dua juta pasang berbanding tahun sebelumnya.

Presca menyifatkan keadaan cukup mencabar bagi Clarks.

Oleh itu, beliau merancang untuk menutup mana-mana cawangannya yang berprestasi buruk.

Tahun lalu ia menutup kilangnya di United Kingdom selepas tiga tahun beroperasi selepas gagal memenuhi sasaran jualan boot.

Clarks mula beroperasi di United Kingdom pada tahun 1825 tetapi pengeluarannya dipindahkan ke Timur Jauh pada tahun 2005. – MalaysiaGazette