Antara logo Polis Di Raja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 13 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang, ACP Maidu Abu Bakar antara 22 pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terlibat dalam pertukaran jawatan berkuat kuasa 22 Jun depan.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Datuk Asmawati Ahmad dalam kenyataan hari ini, memaklumkan Maidu dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah Narkotik (Risikan/Perhubungan Antarabangsa) JSJN Bukit Aman dengan memangku pangkat SAC.

Pertukaran lain antaranya melibatkan Timbalan Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Kuantan, Pahang, ACP Nordin Manan yang dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah (Siasatan/Perundangan/Kajian kes) Bahagian Pematuhan Standard, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman dengan memangku pangkat SAC.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Kedah ACP Mohd Rozi Jidin dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Perlindungan, Jabatan Perdana Menteri dengan memangku pangkat SAC.

Selain itu, Timbalan Ketua Cawangan Khas Pengurusan dan Koordinasi Kuala Lumpur, ACP Mohd Zakarim Abdullah Zakaria dilantik sebagai Penolong Pengarah (Pengurusan Aduan) Bahagian Integriti, JIPS Bukit Aman.

Pertukaran lain turut menyaksikan Pegawai Turus Pematuhan (Zon A) Cawangan Pematuhan, Bahagian Pematuhan Standard JIPS Bukit Aman dilantik sebagai Ketua JIPS Kedah dengan memangku pangkat ACP.

Asmawati berkata, Pegawai Turus Operasi Cawangan Risikan/Operasi, Bahagian Pematuhan Standard, JIPS Bukit Aman, Supt Mohamad Farouk Esha dilantik sebagai Penolong Pengarah (Pematuhan) Bahagian Standard, JIPS Bukit Aman dengan memangku pangkat ACP.

Dalam pada itu, Pegawai Turus Pematuhan (Zon B) Cawangan Pematuhan, Bahagian Pematuhan Standard, JIPS Bukit Aman, Supt Ng Siew Hiang dilantik sebagai Ketua JIPS Johor dengan memangku pangkat ACP.

Pertukaran lain turut melibatkan Pegawai Turus Tadbir Urus/Kepolisan Am Cawangan Tadbir Urus/Bahagian Integriti JIPS Bukit Aman Supt Amran Ab Rashid yang dilantik sebagai Ketua JIPS Perak dengan memangku pangkat ACP. – Bernama