Zakaria Abdul Hamid

KUALA LUMPUR- Bekas Ketua PKR Bera, Zakaria Abdul Hamid telah dilantik sebagai Pengerusi baharu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Manakala Datuk Norman Abdul Halim pula dilantik sebagai Timbalan Pengerusi FINAS.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan pelantikan kedua-dua individu itu.

Pelantikan kedua-dua individu itu bertempoh dua tahun dan berkuatkuasa serta merta.

Zakaria Abdul Hamid merupakan ahli perniagaan dan aktivis masyarakat dan berkelulusan Sarjana Perancangan Bandar dari California State University, Amerika Syarikat.

Beliau menggantikan Datuk Hans Isaac yang telah berkhidmat sejak April 2019.

Manakala Norman mempunyai pengalaman yang luas dalam industri media dan hiburan di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Beliau juga menyandang jawatan sebagai Presiden Yayasan KRU.

KKMM yakin bahawa mereka akan menjalankan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan berusaha untuk membangunkan lagi FINAS.- MalaysiaGazette