Kanak-kanak bermain bunga api dan menyalakan pelita bagi memeriahkan suasana malam Hari Raya Aidilfitri ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kuarters JKR Batu 4 1/2 Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 24 MEI 2020.

KUALA LUMPUR – Suasana di kuarters Jabatan Kerja Raya di Sungai Besi meriah sempena kedatangan Syawal di sebalik Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membendung pandemik Covid-19.

Rata-rata warga kerja JKR yang tidak dapat pulang ke kampung sama seperti warga kota yang lain mengambil inisiatif untuk meraikan hari lebaran bersama keluarga selepas sebulan menunaikan ibadah puasa.

Afdzal Farhan Abd Wahab, 15, bermain bunga api berus periuk bagi memeriahkan suasana malam Hari Raya Aidilfitri ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kuarters JKR Batu 4 1/2 Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 24 MEI 2020.

Menurut Pengerusi Kuarters JKR Batu 4/12 Sungai Besi, Abd Wahab Ismail, idea untuk memeriahkan  sambutan hari raya tercetus melalui perbincangan dengan 10 penghuni yang di situ yang tidak pulang ke kampung halaman.

“Untuk menghilangkan rasa kecewa, dan sedih tidak dapat pulang ke kampung halaman, saya dan 10 orang jiran telah memutuskan untuk memasang lampu warna-warni dan juga pelita panjut, demi memeriahkan suasana beraya di ibu kota,” katanya ketika ditemui di sini.

Kanak-kanak tetap memakai penutup mulut dan hidung sambil bermain bunga api bagi memeriahkan suasana malam Hari Raya Aidilfitri ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kuarters JKR Batu 4 1/2 Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 24 MEI 2020.

Lampu warna-warni bergantungan di koridor rumah, dan juga pelita panjut disusun hias hingga menampakkan tulisan “RAYA KL JE” ternyata mewujudkan kemeriahan dalam kalangan mereka.

Katanya, walaupun beraya di Kuala Lumpur, mereka tetap mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara terutamanya mengamalkan penjarakan sosial demi menjaga keselamatan satu sama lain. – MalaysiaGazette