Dr Carissa Etienne

BRASILIA – Amerika kini muncul sebagai pusat baharu wabak koronavirus, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), ketika kajian Amerika Syarikat (AS) meramalkan kematian meningkat di Brazil dan negara-negara Amerika Latin yang lain hingga bulan Ogos ini.

“Sekarang bukan waktunya untuk negara-negara melonggarkan sekatan,” kata Dr Carissa Etienne, Pengarah WHO untuk Amerika dan Ketua Organisasi Kesihatan Pan Amerika (PAHO), melalui sidang video.

Amerika telah merekodkan lebih dari 2.4 juta kes koronavirus baharu dan lebih dari 143.000 kematian akibat penyakit pernafasan Covid-19.

Kes koronavirus Amerika Latin telah melepasi Eropah dan Amerika Syarikat dalam jangkitan harian, katanya.

“Wilayah kami telah menjadi pusat wabak Covid-19,” kata Etienne, ketika para pengarah PAHO yang lain memberi amaran akan ada minggu-minggu “sangat sukar” untuk wilayah ini dan Brazil masih perlu menempuh jalan yang panjang sebelum melihat wabak itu berakhir.

Turut menjadi kebimbangan ialah penularan Covid-19 yang semakin meluas di Peru, Chile, El Salvador, Guatemala dan Nicaragua.

Memandangkan angka kematian harian Brazil menjadi yang tertinggi di dunia pada hari Isnin, sebuah kajian University of Washington memberi amaran bahawa angka kematian di negara ini akan meningkat lima kali ganda kepada 125,000 orang pada awal Ogos.

Ramalan dari Institute for Health Metrics and Evaluation (IHME) universiti itu dibuat bersama seruan agar sekatan pergerakan yang ditentang oleh sayap kanan Brazil, Jair Bolsonaro dilaksanakan bagi mengekang penularan koronavirus itu.

Data semasa menyaksikan kematian Covid-19 di Peru berjumlah hampir 20,000 pada bulan Ogos, kata IHME, menunjukkan permintaan cenderung melebihi bekalan tempat tidur di unit rawatan rapi (ICU).

Unjuran model IHME terbaru menyaksikan kematian meningkat kepada hampir 12,000 di Chile, 7,000 di Mexico, 6,000 di Ecuador, 5,500 di Argentina dan 4,500 di Colombia menjelang Ogos.

Satu negara di rantau ini yang cukup baik melawan Covid-19 adalah Cuba, yang mana IHME meramalkan jumlah kematian hanya 82 menjelang Ogos sementara ujian terus dilakukan untuk mengatasi wabak tersebut. – MalaysiaGazette