Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Mohammad Hamdan Wahid (tiga kiri) meninjau sekatan jalan raya pada Ops Lancar di Plaza Tol Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 27 MEI 2020.

KUALA LUMPUR – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) masih menunggu arahan untuk melakukan proses sanitasi awan dan disinfeksi di tiga depoh tahanan imigresen (DTI) yang merekodkan peningkatan drastik positif Covid-19.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, proses sanitasi awam akan dibuat keatas ketiga-tiga DTI itu sekiranya ada permintaan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Kita akan ikut arahan KKM iaitu kerjasama dengan KKM dan Jabatan Imigresen.

“Sebelum ini kita sudah buat sanitasi awam dan disinfeksi dan bila semua tahanan ini keluar, kita akan buat lagi sekali di dalam. Kemungkinan pada masa ini kita masih lagi menunggu koordinasi di antara Jabatan Imigresen dan KKM untuk memastikan depoh tahan ini akan buat pembersihan dan nyah cemar,” katanya kepada media selepas melakukan lawatan selepas Ops Lancar di tol Sungai Besi menghala ke selatan hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan media samada pihaknya akan melakukan proses sanitasi awam dan disinfeksi di ketiga-tiga depoh tahanan itu selepas kes positif Covid-19 meningkat di kawasan itu.

Ops Lancar yang bermula pada 21 Mei lalu menempatkan 12 anggota bomba di tujuh tol lebuhraya melibatkan tol Kampung Hutan, Kedah, tol Juru, Pulau Pinang, tol Jalan Duta, tol Gombak, tol Gambang, tol Sungai Besi dan tol Skudai, Johor.

Ops Lancar berakhir hari ini.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Mohammad Hamdan Wahid bercakap kepada media pada Ops Lancar di Plaza Tol Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 27 MEI 2020.

Untuk rekod, semalam 155 kes positif Covid-19 melibatkan warga asing dikesan di Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil.

Dalam pada itu, Mohammad Hamdan berkata, pihak bomba telah melakukan proses sanitasi awam dan disinfeksi di ketiga-tiga kawasan itu pada Mac lalu sebelum berlakunya penularan wabak di kawasan terbabit.

“Sejak bulan Mac kita telah laksanakan dan kita cuma laksanakan depoh tahanan untuk imigresen ini salah satu target untuk buat sanitasi awam dan disinfeksi.

“Selagi penghuninya masih ada di dalam, kita akan buat proses sanitasi awam di sekitarnya dan sekiranya ada tempat tertentu yang telah dikosongkan kita akan buat disinfeksi di dalam menggunakan pasukan HAZMAT yang mempunyai kepakaran khas,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Mohammad Hamdan berkata, kesemua anggota bomba yang ditugaskan semasa penularan Covid-19 telah menerima elaun khas yang disalurkan oleh kerajaan.

Katanya, hanya elaun bulan Mei masih menunggu proses tuntutan daripada Kementerian Kewangan.

“Setakat ini, semua yang terlibat melaksanakan tugas semasa Ops Covid-19 ini mereka layak untuk membuat tuntutan dan tuntutan ini untuk bulan Februari, Mac dan April sudah diterima dan cuma bulan Mei kita tunggu tuntutan selanjutnya.

“Setakat ini, tidak ada masalah daripada pihak KPKT dan Kementerian Kewangan.

“Jumlah untuk pegawai bomba seluruh negara hampir 6,000 kerana kita ada tujuh tugasan yang kita laksanakan iaitu daripada HADR sehinggalah proses disinfeksi dan sanitasi awam,” katanya lagi.

Sebelum ini kerajaan menyalurkan elaun khas RM200 sebulan kepada pasukan barisan hadapan.

Elaun itu dibayar mulai 1 April 2020 sehingga wabak Covid-19 berakhir. -MalaysiaGazette