Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dilihat tekun melakukan kerja-kerja pengambilan sampel Covid-19 terhadap orang awam berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi membendung penularan Covid-19 ketika tinjauan Malaysia Gazette di kawasan Pasar Jalan Othman (PJO), Petaling Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 10 MEI 2020.

PUTRAJAYA – Pesakit yang telah dirawat selama 14 hari dan didapati negatif Covid-19 akan dihantar ke pusat kuarantin sekiranya mereka enggan pulang ke rumah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pendekatan itu diambil kerana ada pesakit yang bimbang akan menjangkiti ahli keluarga masing-masing walaupun sudah dikategorikan bebas daripada dijangkiti Covid-19.

“Sebelum ini ada pesakit Covid-19 yang dirawat sampai 56 hari atau 2 bulan.

“Jika mereka tak nak balik, kita akan lihat bagaimana kita boleh tempatkan mereka. Bukan di hospital lagi, mungkin di institut latihan atau tempat lain,” katanya dalam sidang media harian di KKM, hari ini.

Kesemua mereka akan dipindahkan dari hospital ke tempat lain, antaranya institut latihan yang dijadikan pusat kuarantin.

Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus memantau pesakit positif Covid-19 biarpun selepas 14 hari rawatan sehinggalah mereka tiada lagi gejala dan wabak dalam tubuh mereka.

Semalam, Noor Hisham berkata, KKM akan menjalankan protokol baharu kepada pesakit dijangkiti Covid-19 yang sudah menerima rawatan dalam tempoh 14 hari.

Katanya, mereka akan dibenarkan pulang walaupun masih dikesan positif virus berkenaan.

Protokol baharu itu selaras dapatan terkini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta kajian Korea Selatan dan Taiwan mendapati kebolehjangkitan Covid-19 hampir sifar selepas 14 hari pesakit menerima rawatan.

Noor Hisham berkata, protokol sebelum ini menetapkan pesakit hanya boleh dibenarkan pulang selepas ujian yang dijalankan terhadap mereka pada hari ke-13 dan dalam tempoh 24 jam selepas itu menunjukkan keputusan negatif. – MalaysiaGazette