Wan Saiful Wan Jan.
Wan Saiful Wan Jan

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad dan empat ahli parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) lain bukannya dipecat parti tetapi bertindak sendiri untuk keluar parti.

Itu penjelasan Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Saiful Wan Jan.

Katanya, tiada parti di dunia ini yang akan membenarkan ahli Parlimen mereka duduk di kerusi berbeza daripada kedudukan parti.

“Apabila mana-mana ahli Parlimen PPBM memilih menyertai kelompok bukan bersama parti sendiri dalam Parlimen, maka secara automatik keahlian mereka gugur.

“Ia bukan satu perkara mengejutkan. Saya mahu tegaskan bahawa mereka tidak dipecat. Mereka keluar hasil tindakan sendiri.

“Sebagai bandingan, apabila seseorang itu dengan sendiri berjalan keluar dari rumah, dia bukan dikeluarkan dari rumah itu, tetapi tindakan dia sendiri menyebabkan secara automatik dia berada di luar rumah. Itulah yang berlaku dalam kes ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Saiful menyeru semua ahli kembali memperkukuhkan parti dan terus setia bersama Bersatu untuk terus mengenang jasa tokoh besar.

“Kita hargai segala sumbangan mereka dan jangan nafikan betapa besarnya jasa mereka, dan kita gunakan semua itu sebagai asas untuk membawa parti lebih maju ke depan,” katanya.

Mahathir ialah pengerusi dan seorang daripada pengasas PPBM, manakala Mukhriz ialah timbalan presiden yang bertanding jawatan presiden dalam pemilihan parti bulan depan.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tun M, Mukhriz dipecat daripada Bersatu

1 Komen

  1. Apa yang sdr wan saiful cakap tu benar belaka. Masalah Bersatu ialah adanya Si Kitol dan anakandanya. Serta pengikutnya yang macam lembu kena cucuk hidung

Comments are closed.