Penularan wabak Covid-19 membataskan orang ramai untuk beridah telah meningkatkan penglibatan kepada e-games. Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, orang ramai tidak perlu memakai penutup muka dan hidung ketika melakukan aktiviti bersendirian seperti berjoging atau memandu bersendirian.

Katanya, tidak ada keperluan untuk mereka yang menjalankan aktiviti riadah dan senaman untuk memakai penutup mulut dan hidung sekiranya tidak bergejala ekoran jangkitan Covid-19.

“Keperluan memakai mask (penutup mulut dan hidung) adalah untuk memutuskan rantaian Covid-19, jika berjoging di tempat yang tiada orang, tidak perlu pakai. Pastikan jarak dua hingga tiga meter dari orang lain.

“Memandu seorang diri juga tidak perlu memakai mask,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau ditanya mengenai dua pelajar sekolah di China yang rebah dan mati dalam tempoh seminggu ketika masing-masing sedang memakai pelitup muka sewaktu menjalani ujian wajib larian dalam latihan pendidikan jasmani.

Dilaporkan juga seorang lelaki yang memakai penutup muka dan mulut jenis N95 meninggal dunia akibat kemalangan susulan kekurangan oksigen di Amerika Syarikat.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, pemakaian penutup mulut dan hidung jenis N95 sehingga tiga hingga empat jam juga boleh menyebabkan rasa tidak selesa dan mengganggu proses pernafasan. – MalaysiaGazette