Persatuan Ulama Malaysia (PUM) hari ini menggesa kerajaan menghentikan sementara semua aktiviti pengeluaran, perniagaan dan penjualan minuman beralkohol kepada orang bukan Islam.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Persatuan Ulama Malaysia (PUM) hari ini menggesa kerajaan menghentikan sementara semua aktiviti pengeluaran, perniagaan dan penjualan minuman beralkohol kepada orang bukan Islam.

Yang Di-Pertuanya, Datuk al-Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir menegaskan, pembekuan itu perlu dibuat sehingga satu prosedur baharu pengendalian dan penjualan arak kepada orang bukan Islam dibuat.

“PUM memandang serius fenomena pemandu mabuk yang telah menyebabkan kematian kepada mangsa yang tidak bersalah.

“PUM juga menggesa kerajaan serta pihak berkuasa tempatan (PBT) agar membekukan serta-merta segala pengeluaran lesen penjualan arak.

“Ini termasuklah membekukan serta-merta sebarang permohonan untuk mendapatkan lesen jualan arak tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa tidak menolak kemungkinan untuk membekukan semua aktiviti pengeluaran dan penjualan arak susulan kemalangan maut membabitkan pemandu mabuk semakin menjadi-jadi sejak mutakhir.

Menurut Annuar, cadangan pembekuan mungkin dilaksanakan sehingga satu garis panduan diwujudkan dan semakan perundangan dilakukan pihaknya.

Menurut Abdul Halim, kerajaan juga perlu mengeluarkan satu prosedur baharu bagi memastikan penjualan minuman arak kepada orang bukan Islam dikenakan kawalan ketat.

“PUM juga menasihatkan umat Islam agar mengelakkan diri dari terlibat dalam industri arak dalam apa jua kapasiti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast