KUALA LUMPUR – Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) melancarkan TRANSEAT – Pertandingan Reka Bentuk Bangku Stesen Bawah Tanah MRT Laluan Putrajaya untuk mencari reka bentuk terbaik bagi bangku yang akan dipasang di stesen bawah tanah MRT Laluan Putrajaya, jajaran kedua Projek MRT Lembah Klang yang dijadualkan beroperasi sepenuhnya pada tahun 2023.

Pertandingan ini bermula pada hari ini dan akan berakhir pada 31 Julai 2020.

Pertandingan ini terbuka kepada semua warganegara Malaysia kecuali pekerja MRT Corp, MMC Gamuda KVMRT (PDP SSP) Sdn Bhd dan MMC Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd.

Golongan profesional yang bekerja dalam industri reka bentuk dan juga yang bukan profesional termasuk pelajar, digalakkan untuk mengambil bahagian.

Pengarah Projek MRT Laluan Putrajaya, Datuk Amiruddin Ma’aris berkata, pertandingan ini merupakan kali kedua yang dianjurkan oleh MRT Corp berikutan kejayaan pertandingan yang pertama bagi MRT Laluan Kajang (dahulunya MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang) pada tahun 2015 dan 2016.

“Kami telah memutuskan untuk membuka pertandingan ini kepada semua warga negara Malaysia supaya semua lapisan masyarakat berpeluang menjadi sebahagian daripada Projek MRT Lembah Klang, di mana reka bentuk terbaik dari pertandingan ini akan ‘diabadikan’ di Stesen Bawah Tanah dari Laluan MRT Putrajaya.

“Banyak reka bentuk yang menarik telah dikemukakan semasa pertandingan pertama. Ini menunjukkan bahawa ramai rakyat Malaysia mempunyai idea dan bakat yang hebat. MRT Corp kini menyediakan platform untuk idea anda menjadi kenyataan,” katanya.

Pelancaran pertandingan ini, tambah Amiruddin, menunjukkan bahawa pembinaan MRT Laluan Putrajaya sedang berjalan dengan baik kerana pertandingan ini merupakan detik permulaan untuk kerja memasang perabot stesen di stesen bawah tanah, yang merupakan salah satu proses peringkat akhir dalam kerja pembinaan.

Pemenang Hadiah Utama pertandingan ini akan memenangi RM10,000, sementara tempat kedua dan ketiga masing-masing akan memenangi RM7,000 dan RM5,000. Kategori hadiah khas bernilai RM5,000 juga telah diperuntukkan untuk reka bentuk terbaik oleh pelajar.

Reka bentuk oleh pemenang Hadiah Utama bakal diguna pakai untuk bangku-bangku yang akan dipasang di lapan daripada sembilan stesen bawah tanah MRT Laluan Putrajaya, namun tertakluk kepada kesesuaian, kos pembuatan dan pertimbangan lain.

Sebuah stesen, iaitu Stesen Tun Razak Exchange, telah dibina sebagai sebahagian daripada MRT Laluan Kajang dan kini sudah mempunyai bangku. Stesen Tun Razak Exchange bakal menjadi stesen pertukaran di antara MRT Laluan Kajang dan MRT Laluan Putrajaya pada masa akan datang.

Pemenang pertandingan dijangka akan diumumkan pada penghujung tahun 2020.

Pertandingan ini dianjurkan dengan kerjasama Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM) dan disokong oleh Persatuan Pereka Perindustrian Malaysia (PEREKA).

Pembinaan MRT Laluan Putrajaya telah mencapai 73%. Fasa Satu jajaran tersebut, yang merangkumi bahagian bertingkat utara dari Kwasa Damansara ke Kampung Batu, dijangka dibuka pada pertengahan tahun 2021, sementara keseluruhan laluan dari Kwasa Damansara ke Putrajaya Sentral, termasuk bahagian bawah tanah dan bahagian bertingkat selatan, akan beroperasi di bawah Fasa Dua pada Januari 2023.

Untuk maklumat lebih lanjut mengenai pertandingan, sila lawati www.mymrt.com.my/public/putrajaya-line/transeat/ – MalaysiaGazette