Mazlan Lazim

KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur mengesahkan kematian dalam tahanan membabitkan seorang lelaki warganegara Nepal berusia 37 tahun yang ditangkap pada 27 Mei lalu.

Ketuanya, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, lelaki itu yang ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan melakukan kesalahan melanggar syarat di bawah Akta Kawalan Persendirian 1971 dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam sel.

“Hasil siasatan pihak polis dan soalsiasat terhadap tahanan-tahanan lain yang berada di dalam sel tersebut mendapati tiada sebarang unsur jenayah atau unsur-unsur salahlaku,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mazlan memberitahu, tempoh tahanan reman lelaki itu adalah sehingga 10 Jun ini.

Mayat lelaki itu dibawa ke Hospital Kuala Lumpur dan bedah siasat juga telah dijalankan oleh Pakar Forensik.

Sehingga kini polis masih menunggu keputusan analisis dari makmal berhubung keputusan bedah siasat tersebut.

Ujarnya, pihak Kedutaan Nepal telah dimaklumkan dan setakat ini kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sehubungan itu katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian tersebut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp. T. Mohaneswaran di talian 016-446 1605, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan untuk membantu siasatan. – MalaysiaGazette