Gambar hiasan

TOKYO – Harga minyak naik dalam dagangan hari ini, hampir tiga bulan tinggi dipacu oleh keyakinan bahawa pengeluar-pengeluar minyak terbesar dunia akan terus mengurangkan pengeluaran ketika dunia kembali pulih selepas pandemik koronavirus.

Minyak mentah Brent naik AS$0.22 kepada AS$39.79 setong – tertinggi sejak 6 Mac lalu selepas melonjak 3.3% semalam.

West Texas Intermediate meningkat AS$0.33 kepada AS$37.14, juga tertinggi sejak 6 Mac. Kontrak berakhir pada sesi sebelumnya dengan kenaikan 3.9%.

Kedua-dua penanda ras menyaksikan kenaikan ketara dalam beberapa minggu ini berbanding paras terendah pada bulan April, dipacu oleh pemulihan di China yang menjadi pusat tercetuskan wabak koronavirus.

Pertubuhan Negara Pengeksport-Pengeksport Minyak (OPEC) dan sekutu-sekutunya termasuk Rusia dijangka meneruskan pemotongan pengeluaran sebanyak 9.7 juta tong sehari atau kira-kira 10% daripada pengeluaran dunia pada bulan Julai dna Ogos.

OPEC dan sekutu-sekutunya yang dikenali sebagai OPEC+ akan bermesyuarat secara maya Khamis ini. – MalaysiaGazette