JELI – Penduduk Jeli bangga dengan pengiktirafan daerah itu oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebagai antara 10 Bandar Paling Bahagia 2019 melalui PLANMalaysia.

Rozi Zaini, 53, berkata pengiktifaran itu satu hadiah bermakna kepada penduduk daerah itu yang sebelum ini dianggap dan digelar kawasan ‘jin bertendang’.

“Ia satu pemangkin kepada penduduk di sini menjalani kehidupan dalam suasana harmoni dengan pembangunan secara berperingkat yang dibawa ke daerah ini.

“Pengiktirafan itu menunjukkan pentingnya sikap mendekati rakyat oleh agensi kerajaan yang diamalkan oleh Datuk Seri Mustapa Mohamed sebagai wakil rakyat di sini, ” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Semalam, PLANMalaysia menyenaraikan 10 Bandar Paling Bahagia 2019 yang dipilih melalui Kajian Indeks Kebahagiaan membabitkan dua bandar yang terletak dalam kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bertaraf bandar raya, enam bandar di kawasan PBT bertaraf perbandaran dan dua bandar lagi di kawasan PBT bertaraf majlis daerah.

Ia adalah Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Majlis Bandaraya Seremban, Majlis Perbandaran Kulai, Majlis Perbandaran Taiping, Majlis Perbandaran Kuantan, Majlis Perbandaran Bentong, MPJ, Majlis Daerah Yan dan Majlis Daerah Jeli.

Razi berkata ia turut menjadi pemangkin kepada penduduk di sini untuk terus hidup dalam suasana harmoni di samping meneruskan aktiviti ekonomi berasaskan pertanian untuk kelangsungan hidup terutamaya berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Boleh kata bahagia di sini, kos sara hidup rendah dan rata-rata penduduk di sini menjalankan aktiviti dan menjadikan sumber pendapatan berasaskan pertanian dan perniagaan,” katanya.

Sementara itu, Syazawan Seman, 28, dari Kampung Gemang berkata ‘kebahagiaan’ daerah itu dapat dilihat dengan pembangunan yang tersusun dan dapat mengekalkan alam semula jadi berbeza dengan daerah lain.

“Tahniah kepada masyarakat, pihak kerajaan dan wakil rakyat di sini yang bertungkus-lumus bagi memastikan kesejahteraan daerah ini sentiasa terjaga walaupun pembangunan di sini dilihat sedikit perlahan,” katanya.

Emir Faizilah Abdullah, 35, dari Ayer Lanas mengucapkan tahniah kepada masyarakat Jeli dengan pengiktirafan itu.

“Sudah tentu sebagai warga daerah itu saya berbangga dengan pencapaian berkenaan yang membuktikan tinggal di kawasan ‘hulu’ turut boleh berbangga dengan cara tersendiri,” katanya.- BERNAMA