Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) banyak menyediakan peruntukan untuk membantu meringankan beban kewangan syarikat kecil dan sederhana, termasuk kontraktor dan membantu melonjakkan semula perniagaan yang terkesan akibat dari pandemik Covid-19.

Fokus kerajaan dalam menyediakan bantuan aliran tunai menerusi pembiayaan SME Bank untuk kontraktor kelas G2 dan G3 yang dianugerahkan projek-projek kecil kerajaan akan membantu mempercepatkan pelaksanaan projek oleh kontraktor berkenaan dan membantu dalam aliran tunai bagi kontraktor gred ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, antara yang akan memanfaatkan sektor pembinaan secara tidak langsung meliputi pelanjutan pakej subsidi upah, insentif kepada majikan, dan pembiayaan PKS Penjana sehingga RM500,000.

Selain itu, peruntukan RM2 bilion untuk program peningkatan kemahiran tenaga kerja bagi meningkatkan kebolehpasaran penganggur akan memanfaatkan pekerja tempatan untuk membina kemahiran baru di dalam pelbagai bidang berkaitan pembinaan dan meneroka peluang kerjaya di dalam sektor ini.

Menurutnya, graduan menganggur dari bidang teknikal boleh mengambil peluang untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran di dalam penggunaan Building Information Modelling (BIM). Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menerajui latihan di dalam bidang kemahiran pembinaan menerusi Akademi Binaan Malaysia (ABM).

CIDB juga menawarkan latihan serta kemudahan BIM di Pusat MyBIM di Kuala Lumpur dan juga Satelite MyBIM di seluruh negara.

Kementerian Kerja Raya juga katanya, mengalu-alukan usaha melanjutkan tempoh dan memperluas skop potongan cukai bagi perbelanjaan berkaitan pencegahan Covid-19 kepada syarikat, termasuk bagi ujian saringan serta pembelian PPE dan pengimbas suhu.

Potongan cukai ini sudah tentunya akan memanfaatkan sebanyak 7,500 kontraktor yang sedang melaksanakan projek-projek pembinaan. – MalaysiaGazette