Kamarudin Jaafar

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengambil berat permasalahan pelajar negara ini di negara luar yang masih ‘terperangkap’ termasuk di Sudan.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, pihaknya juga memantau perkembangan pelajar di Mesir dan Nigeria.

“Pada masa yang sama, kementerian ini mengambil berat permasalahan yang dilaporkan dan sebagaimana tular di media sosial melibatkan rakyat Malaysia di Mesir, Sudan serta Nigeria,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sebelum ini, MalaysiaGazette melaporkan keluhan para pelajar Malaysia di Sudan yang hidup dalam kegelisahan kerana dikuarantin dalam keadaan sebahagian daripada mereka menghadapi gejala-gejala Covid-19.

Selain itu, Kamaruddin berkata, sehingga hari ini, Kedutaan Besar Malaysia di Mesir telah memudah cara kepulangan seramai 5,291 orang pelajar di sana ke tanah air.

Menurutnya, kementeriannya sentiasa memantau perkembangan rakyat Malaysia di negara itu dan bersedia menghulurkan bantuan dengan segera.

Selain itu, beliau memaklumkan sehingga 1 Jun lalu, seramai 6,234 orang rakyat Malaysia yang kini masih berada di negara-negara di benua Afrika telah berdaftar dengan kerajaan Malaysia.

“Kementerian Luar Negeri melalui Perwakilan-Perwakilan Malaysia di Afrika memantau rapat perkembangan kes COVID-19 di benua berkenaan dan senantiasa menghulurkan bantuan sewajarnya kepada rakyat Malaysia yang terjejas akibat penguatkuasaan langkah-langkah pengekangan penularan wabak oleh kerajaan-kerajaan negara di benua tersebut.

Di samping itu, kementerian akan terus berusaha menyediakan alternatif terbaik bagi membantu rakyat Malaysia di rantau tersebut yang terjejas berikutan penutupan sempadan dan penggantungan operasi penerbangan komersial antaranya, menyelaras maklumat penerbangan komersial bagi membawa rakyat Malaysia ke negara ketiga yang mempunyai penerbangan ke Kuala Lumpur serta mencari alternatif kaedah penerbangan yang bersesuaian dan pada kos yang berpatutan.

Dalam masa yang sama, Kementerian Luar Negeri mengalu-alukan penglibatan mana-mana individu, organisasi, pertubuhan bukan kerajaan yang ingin membantu  kepulangan rakyat Malaysia yang dilaporkan terjejas akibat penguatkuasaan langkah-langkah pengekangan penularan wabak Covid-19 oleh kerajaan-kerajaan di benua Afrika.

Warga Malaysia di luar negara juga dinasihatkan untuk terus berhubung dengan Perwakilan Malaysia yang berkenaan bagi mendapatkan perkembangan berkaitan perkara ini dari semasa
ke semasa. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Ramai pelajar Malaysia di Sudan alami gejala Covid-19